PH Sukar Menang Pada PRU15 – Aminuddin

- Advertisement -

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) agak sukar untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termasuk kembali membentuk kerajaan Persekutuan berdasarkan situasi ketika ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, PH perlu fokus menyelesaikan beberapa isu sebelum pilihan raya diadakan jika mahu mencapai kejayaan.

Beliau yang juga calon Naib Presiden dalam Pemilihan PKR 2022 menambah, isu berkenaan termasuklah berkaitan penggunaan logo serta berkaitan agenda yang akan dibawa oleh Pakatan Harapan selepas ini.

“Kalau ikut situasi sekarang kami kena akur, agak sukar, lihat keputusan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, untuk mempertahankan kawasan yang kami menang pun agak sukar.

“Memang ada sedikit perbezaan, apabila Amanah dan DAP guna logo PH, Keadilan guna logo Keadilan, itu rupanya menjadi sesuatu perkara yang diberikan perhatian oleh rak­yat, jadi kepemimpinan harus melihat perkara ini sebagai satu perkara yang harus diselesaikan sebelum pilihan raya.

“Apakah juga agenda sebenarnya yang ingin dibawa oleh PH, harus kita selesaikan selepas Pemilihan PKR selepas penyusunan DAP dan juga Ama­nah. Apabila ini selesai, mereka harus duduk semeja, berbincang, memikirkan masa depan parti dan PH sebagai satu perkara harus diselesaikan awal,” katanya ketika ditemu bual Utusan Malaysia di pejabatnya di sini semalam.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan itu menambah, sekiranya perkara berkenaan tidak dapat diselesaikan, tentunya dikhuatiri apa yang berlaku di PRN Melaka dan PRN Johor akan berulang.

“Kita harus fokus untuk menang PRU15, tetapi kena selesaikan dalam tempoh masa terak­hir ini sebagai satu pasukan yang kuat. Tidak boleh lagi mengambil sikap seperti apa yang berlaku di Melaka, Johor, perkara yang remeh, perlu ada tindakan segera.

“Tidak mustahil kita boleh kembali di peringkat Persekutuan selepas PRU15, di peringkat negeri pastinya kami akan cuba mempertahankan, tetapi di Pusat, kita harus ke hadapan,” kata Aminuddin lagi.

Bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, beliau menjangkakan PH akan tewas pada dua lagi pusingan pilihan raya umum sebelum menguasai kerajaan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, PH berkemungkinan mengambil masa untuk menang dengan jayanya kerana rakyat masih trauma dengan apa yang berlaku semasa gabungan itu menjadi kerajaan selama 22 bulan.

– UTUSAN

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,600FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat