KUALA LUMPUR- Warga emas yang didakwa menampar seorang pemuda yang dikatakan ‘tidak berpuasa’ Ahad lalu akan didakwa semula di Mahkamah Majistret Johor Bahru, petang ini.
Peguam Negara (AG) Datuk Mohd Dusuki Mokhtar berkata, ketika prosiding pagi tadi di Mahkamah Majistret Johor Bahru, terdapat isu teknikal berkaitan pertuduhan yang difailkan terhadap individu terbabit.
Katanya, selepas diperiksa semula Jabatan Peguam Negara (ACG) berpuas hati terhadap kertas pertuduhan dan pendakwaan wajar dikenakan terhadap individu berkenaan.
“Isu teknikal membabitkan pertuduhan telah diatasi dan individu terbabit akan dituduh semula di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada petang ini.
“Jabatan Peguam Negara komited untuk memastikan semua pihak memperoleh keadilan sewajarnya, selaras peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu lapor BH di Johor.
Pagi tadi, Mahkamah Majistret Johor Bahru, melepas tanpa membebaskan (DNAA) warga emas yang didakwa menampar seorang pemuda yang dikatakan ‘tidak berpuasa’, Ahad lalu.
Majistret A Shaarmini membuat keputusan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, memaklumkan mendapat arahan untuk merujuk semula kertas siasatan kes berkenaan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.
Nur Fatihah memaklumkan mahkamah, beliau baharu menerima arahan berkenaan daripada AGC.
Terdahulu, kes berkenaan sempat menjalani prosiding apabila Orang Kena Saman (OKS), Abdul Razak Ismail, 65, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.
Abdul Razak didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pemuda berusia 21 tahun di premis kedai serbaneka di sebuah pusat beli belah di sini, kira-kira jam 3.45 petang, Ahad lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.