KUALA LUMPUR – Jumlah hutang isi rumah direkodkan berjumlah RM1.53 trilion pada akhir 2023.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bahagian terbesar hutang isi rumah mengikut jenis pembiayaan ialah pinjaman perumahan (60.5 peratus), diikuti pinjaman kenderaan (13.2 peratus), dan pembiayaan peribadi (12.6 peratus).
Secara agregatnya, jumlah hutang isi rumah bagi tahun-tahun sebelumnya adalah RM1.45 trilion pada 2022, RM1.38 trilion pada 2021, RM1.32 trilion pada 2020, RM1.25 trilion pada 2019, dan RM1.19 trilion pada 2018.
“Nisbah hutang isi rumah berbanding KDNK pada akhir tahun 2023 pula meningkat sedikit kepada 84.2 peratus berbanding tahun 2018 (82%),” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Anwar yang juga Perdana Menteri menjawab pertanyaan Paak Hok Liong (PH-Labis) yang meminta menteri menyatakan hutang isi rumah agregat negara bagi tahun 2018 sehingga 2023.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan bahawa purata pertumbuhan tahunan hutang isi rumah adalah sebanyak 5.1 peratus, bagi tempoh 2018 hingga 2023.
“Pertumbuhan hutang isi rumah tahunan ini didorong terutamanya oleh pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan susulan daripada pelbagai insentif pemilikan rumah yang ditawarkan oleh pihak Kerajaan dan sektor swasta, serta insentif cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi pembelian kenderaan bermotor di antara tahun 2020 dan 2022,” katanya.