KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat ditayang klip video berdurasi kira-kira 30 saat berhubung jenayah-jenayah yang diperlakukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, video berkenaan adalah kesan daripada jenayah yang memerlukan polis untuk menguatkuasakan peruntukan di bawah akta tersebut.
“Menurut gambar statiknya lebih kejam, dikapak, diparang di kepala dan lengan, perut terburai, otak bersepai dan macam-macam lagi.
“Itu semua kita akan paparkan kepada Ahli-ahli Parlimen bagi memahami persekptif bahawa dalam banyak undang-undang yang ada di negara ini ada satu sudut pandangan pasukan penguatkuasa di mana mereka merasakan bahawa ada keperluan untuk peruntukan ini diguna pakai,” katannya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Semua anggota Parlimen yang hadir dipertontonkan klip video bersama Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Sementara itu, Johari mengarahkan klip video itu ditayangkan di hadapan Ahli Parlimen sahaja dan tidak boleh ditayangkan di luar Dewan Rakyat.
“Saya tidak dibenarkan video ini disebarkan diluar, ia hanya untuk tontonan Ahli Parlimen sahaja,” kata Johari.
Minggu lalu, mesyuarat Kabinet bersetuju agar Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) diteliti dan disemak.
Menurut Saifuddin, penambahbaikan SOSMA adalah bagi mengimbangi keperluan keselamatan negara dengan hak asasi individu selain memastikan ia berkesan dalam menangani aktiviti jenayah serius, kompleks dan berstruktur yang mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Justeru katanya, KDN merumuskan tiga hala tuju untuk membuat penambahbaikan terhadap SOSMA.
“Pertama kerajaan akan membuat semakan semula terhadap senarai atau jadual kesalahan-kesalahan yang tidak boleh dijamin mutlak dan kesalahan yang boleh dijamin dengan budi bicara mahkamah mengikut tahap keseriusan.
“Ada 73 kesalahan yang terangkum di bawah akta ini dan mulai sekarang kita akan semak balik dan kita akan tengok kesalahan apa yang kita kekal kategori sebagai tidak boleh dijamin dan kesalahan apa kita akan beri mahkamah untuk membenarkan ikat jamin,” katanya pada sesi penerangan menteri mengenai SOSMA di Dewan Rakyat.
Selain itu, Saifuddin berkata kerajaan juga akan mengkaji keperluan dan kesesuaian untuk mewujudkan Mahkamah Khas SOSMA seperti Mahkamah Khas Rasuah dan Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak supaya kes berkaitan SOSMA tidak menunggu lama untuk dibicarakan.
Saifuddin berkata kerajaan juga akan mengkaji pindaan terhadap Seksyen 30 SOSMA untuk membenarkan tahanan diikat jamin sementara menunggu proses undang-undang seperti perbicaraan dan rayuan mahkamah selesai.
Beliau berkata pada masa ini, seseorang yang dituduh di bawah SOSMA tidak boleh dijamin kecuali kanak-kanak berusia bawah 18 tahun, wanita atau seorang yang sakit atau uzur tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Susulan itu, Saifuddin Nasution berkata beliau akan segera mengumumkan pembentukan sebuah Jawatankuasa Khas untuk memperhalusi cadangan pindaan itu bagi membolehkan ia dibawa ke Parlimen secepat mungkin.
“Lagi cepat Jawatankuasa Khas ini menghasilkan dapatan, lagi cepat kita dapat bentang di Parlimen kerana kita ada sesi (persidangan) pada Julai dan biar itu jadi garis masa untuk menunjukkan kesediaan kita yang sentiasa terbuka dalam menambah baik dasar perundangan, peraturan serta usaha untuk memperkasa keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Saifuddin berkata sementara penambahbaikan SOSMA dilakukan, ia tidak bermakna Kerajaan MADANI mengambil sikap sambil lewa atau memandang ringan terhadap keperluan undang-undang bagi menangani ancaman jenayah keganasan dan jenayah terancang yang sebenarnya masih lagi wujud dalam negara ini.
“Ini membuktikan kesediaan kita untuk berganjak daripada status quo sekarang, tetapi tidak sama sekali mengabaikan prinsip dan tanggungjawab menjaga keamanan dan ketenteraman sambil memastikan hak asasi mereka yang terlibat terjaga,” katanya.
SOSMA merupakan akta baharu yang digubal pada 2012 menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).