KUALA LUMPUR – Pemandu e-hailing yang tidak mencatat jumlah perjalanan bulanan minimum 2,000 kilometer (km) secara automatik tidak layak menerima tambahan kuota melalui program BUDI Madani RON95 (BUDI95) untuk bulan berikutnya.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ini bermakna jarak perjalanan perkhidmatan e-hailing yang direkodkan dalam sistem syarikat pengendali e-hailing (EHO) bagi bulan terdahulu menjadi penentu kepada siling kelayakan.
Mengulas lanjut, beliau berkata untuk kategori pertama jarak perjalanan e-hailing tidak melebihi 2,000km pada bulan sebelumnya akan kekal menerima kelayakan asas sebanyak 300 liter sebulan.
“Kedua, jarak perjalanan e-hailing antara 2,000km ke 5,000km pada bulan sebelumnya layak menerima tambahan BUDI95 sebanyak 300 liter, menjadikan kelayakan kumpulan ini berjumlah 600 liter, termasuk kelayakan asas.
“Ketiga, jarak perjalanan e-hailing 5,000km ke atas pada bulan sebelumnya layak menerima tambahan sebanyak 500 liter, menjadikan kelayakan kumpulan ini berjumlah 800 liter,” katanya menjawab soalan Senator Dr RA Lingeshwaran pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara pada Khamis lapor BH.
Beliau dalam pada itu mengingatkan bahawa tindakan penguatkuasaan boleh diambil ke atas pemandu atau EHO yang didapati mengemukakan maklumat palsu, meragukan atau bercanggah dengan rekod dalam sistem.
“Pendekatan berasaskan data perjalanan sebenar ini secara langsung menutup ruang ketirisan kepada pemandu tidak aktif, pemandu sambilan minimum atau akaun yang disalah guna, di samping memastikan subsidi hanya disalurkan kepada pemandu yang benar-benar bergantung kepada e-hailing sebagai sumber pendapatan utama.
“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan secara corak penggunaan perkhidmatan e-hailing dari semasa ke semasa dan penambahbaikan akan dibuat sekiranya perlu bagi memastikan mekanisme BUDI95 kekal berkesan, bersasar dan mampan pada jangka panjang,” katanya.
Setakat Disember ini, Amir Hamzah berkata daripada keseluruhan 164,000 pemandu e-hailing yang diterima oleh EHO, lebih 106,000 atau 65 peratus layak menikmati siling BUDI95 sekurang-kurangnya 600 liter hingga 800 liter.
“Dalam hal ini, jarak perjalanan bulanan setiap pemandu e-hailing akan ditentukan berdasarkan penggabungan data perjalanan dari semua EHO dan pengesahan data itu dikendalikan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak.
“Hanya pemandu warganegara mempunyai lesen memandu ‘passenger service vehicle’ (PSV) dan permit e-hailing yang sah akan dipertimbangkan. Bagi mengelak ketirisan subsidi kepada pemandu tidak aktif dan tak sah, EHO diwajibkan mengumumkan rekod perjalanan bulanan yang tepat, lengkap dan sahih pada awal setiap bulan kepada APAD dan LPKP,” katanya lapor akhbar itu lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu mengumumkan kerajaan bersetuju meningkatkan kelayakan subsidi petrol RON95 bawah program BUDI95 sehingga 800 liter sebulan bagi pemandu e-hailing aktif, penambahbaikan daripada kelayakan 600 liter sebulan yang diberikan sebelum ini.
Rebat tunai beralih EV
Menjawab soalan tambahan Lingeshwaran mengenai pengenalan rebat tunai sebagai galakan rakyat beralih kepada kenderaan elektrik (EV), Amir Hamzah berkata, buat masa ini, kerajaan tidak bercadang menggantikan subsidi bahan api di bawah BUDI95 dengan rebat tunai sebagai penggalak peralihan kepada EV atau hibrid.
“Memandangkan langkah itu akan mengubah tujuan asal BUDI95 dan potensi menjejaskan keberkesanan penyasaran subsidi kepada kumpulan yang masih bergantung kepada kenderaan enjin pembakar,” katanya.
Katanya, BUDI95 bukan bertujuan menggalakkan peralihan berkenaan, memandangkan keberkesanan pelaksanaannya juga dinilai berdasarkan keupayaan mengurangkan ketirisan, melindungi kumpulan sasar, di samping mengekalkan kestabilan pelaksanaan dari segi pengalaman pengguna memanfaatkan subsidi BUDI95.
“Mengenai peralihan kepada kenderaan EV dan hibrid pula, ditangani melalui rangka kerja dan inisiatif berasingan termasuk pembangunan infrastruktur pengecasan serta dasar industri automotif negara,” katanya.



