KUALA LUMPUR – Kerajaan Sabah tidak merancang untuk menutup operasi Sabah International Petroleum (SIP).
Hal ini kerana, ia kini bebas daripada hutang dan telah menjadi anak syarikat SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE).
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata hutang SIP telah dilunaskan menerusi proses penstrukturan semula SMJE yang melibatkan pengumpulan dana sebanyak RM900 juta melalui program Sukuk Wakalah.
“Oleh itu, SIP tidak lagi menjadi beban kepada kerajaan dan kini menjana aliran tunai positif serta stabil daripada operasinya,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menutup operasi SIP memandangkan SMJE sudah diwujudkan, lapor Bernama.
Mengulas lanjut, Masidi berkata walaupun program Sukuk Wakalah itu terlebih langgan sebanyak 3.9 kali, SMJE buat masa ini tidak merancang untuk menggunakan baki RM10 bilion daripada sukuk itu.
Beliau berkata, SMJE telah memperoleh portfolio seimbang dan mampu menggunakan dana yang dijana sendiri untuk membiayai operasi semasanya.