KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari sedia dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berkait persoalan beliau terhadap pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu ‘right to exist’ melibatkan Israel.
“Isu ‘right to exist’ – hadapkan saya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika ucapan itu tidak tepat.
“Mana-mana ahli-ahli Parlimen boleh buat usul, tak perlu bising di luar,” tegas Ketua Penerangan Pas itu dalam hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Pada 14 Nov lalu di Dewan Rakyat, Fadhli mempersoal pendirian Perdana Menteri mengenai isu serangan Israel ke atas penduduk Palestin yang didakwa mereka sebagai tidak konsisten.
Fadhli (PN-Pasir Mas) berkata, selama ini Malaysia membuat tindakan sangat berani dan lantang sehingga memfailkan usul membawa keluar Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun, kata beliau, pendirian itu tidak selari dengan jawapan Perdana Menteri ketika diwawancara media antarabangsa CNN mengenai isu itu.
“Wawancara PM dengan CNN ketika menjawab soalan ketika ditanya, ‘Does Israel has a right to exist and defend itself?’ Adakah Israel ada hak untuk wujud dan pertahankan diri?
“Perdana Menteri menjawab ‘Yes’ (ya).
“Dengan hanya perkataan-perkataan ini sahaja saya kira sangat-sangat mengelirukan. Ia boleh jadi kerana diprovokasi oleh wartawan kerana suasana pada waktu itu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Kata Fadhli, Israel sebenarnya tidak ada langsung hak untuk wujud dalam dunia ini pada hari ini.
“Ini perkara yang perlu kita nyatakan dengan tegas bahawa dalam suasana seperti hari ini kezaliman dengan segala macam jenayah yang dilakukan oleh Israel maka kita minta supaya Perdana Menteri dapat mengulangi semula kenyataan yang lebih tegas bahawa apa yang diucapkan dalam wawancara itu tidak tepat dengan pendirian yang sepatutnya kita ungkapkan.
“Kita tahu dan kita faham bahawa pendirian kita ini tidak boleh dianggap terlalu keras kerana kita bergantung kepada banyak perkara.
“Tetapi dengan kita mengemukakan usul untuk mengeluarkan Israel daripada PBB apalah sangat untuk kita menyatakan bahawa Israel sudah tidak ada hak untuk wujud dalam dunia yang ada pada hari ini kerana negara ini diasaskan oleh genosid, kezaliman, darah rakyat Palestin yang tumpah tidak ada dosa dan alasan yang munasabah,” kata beliau.