AIM bantu pengusaha van sekolah peroleh biaya lebih setengah juta

- Advertisement -

SHAH ALAM: Daripada hanya memperoleh pendapatan sampingan hasil menumpangkan anak-anak jiran ke sekolah, Norashikin Mohamad Amaran, 49 memberanikan diri keluar dari zon selesa kerja ‘makan gaji’ untuk memulakan perkhidmatan van sekolah.

Keputusan itu sekali gus membuka ruang kepadanya untuk mengasaskan Aisy Trading & Services yang dimulakan sejak 2009 dan sehingga kini beliau turut berjaya mengusahakan pusat transit murid, taska di rumah serta perniagaan katering.

Ibu kepada empat cahaya mata berusia antara 15 dan 26 tahun, berkata perniagaannya kini semakin berkembang termasuk kejayaannya memiliki 10 van sekolah yang memberi perkhidmatan sekitar Kota Kemuning, Jalan Kebun, Rimbayu dan Kampung Lombong, Klang dan lain-lain.

“Saya dapat idea menjalankan perniagaan van sekolah secara sampingan sejak awal 2000 berikutan Kota Kemuning adalah kawasan baharu. Walaupun saya kerja pejabat tetapi perlu menghantar sendiri anak ke sekolah berikutan tiada perkhidmatan van sekolah.

“Daripada seorang dua anak jiran minta tumpang hinggalah penuh kereta, saya kemudian menggunakan van perodua Rusa sebagai kenderaan pertama dan selepas itu hampir setiap tahun, saya beli satu van bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi.

“Mujur ada kenalan mengesyorkan saya memohon pembiayaan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Saya ingat lagi pinjaman pertama daripada AIM, iaitu berjumlah RM3,000 dan ia digunakan sebagai modal untuk membeli kenderaan.

“Seterusnya, saya meminjam jumlah lebih besar RM30,000, dengan empat atau lima kali, jadi keseluruhan jumlah AIM beri melebihi setengah juta,” katanya ketika ditemui di Transit Syafiqa Pintar di Syeksen 30, Shah Alam.

Norashikin berkata, berbekalkan pembiayaan berterusan itu, ia cukup membantunya terutama sebagai modal pusingan, kerana selain perusahaan van sekolah, perniagaannya berkembang kepada transit murid.

“Perkhidmatan transit ini menerima permintaan menggalakkan dari bermula rumah teres, kini sudah empat tahun saya menyewa banglo lebih besar, kerana setiap hari lebih kurang 100 murid ‘ditransitkan’ di sini.

“Ini jugak memudahkan ibu bapa kerana semua anak dihantar di satu tempat dan pada masa sama mereka tidak perlu bimbang soal keselamatan, makan minum, pengangkutan ke sekolah kerana semuanya disediakan dan hanya bayar RM300 hingga RM350 sebulan untuk seorang anak,” katanya.

Bekas guru mengajar al-Quran ini memaklumkan, beliau membelanjakan sebanyak RM12,000 untuk kos petrol serta puluhan ribu kos penyelenggaraan kenderaan sebulan, selain menggajikan ramai pekerja untuk melancarkan operasi dan pekhidmatannya.
“Secara kasarnya saya mempunyai 700 pelajar yang dihantar pergi dan pulang ke sekolah dan di pusat transit tiga tingkat ini boleh memuatkan hingga 100 orang dan di taska ada 17 bayi dan kanak-kanak.

“Kebiasaan mereka semua tidak tiba secara serentak kerana masing-masing mempunyai jadual persekolahan berbeza, jadi memang di rumah transit ini ada seorang penyelia, seorang staf yang menguruskan makan minum dan tiga pembantu lain,” katanya.

Mencerita pengalaman dua tahunnya mengharungi COVID-19 dan perkembangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Norashikin mengatakan, beliau terpaksa mengalihkan ‘cabang perniagaan’ dengan mengusahakan katering selain turut menggunakan van untuk perkhidmatan penghantaran.

“Alhamdulillah kini perniagaan semakin pulih selepas melalui tempoh sangat mencabar, disebabkan sekatan pergerakan dan operasi, sekolah ditutup, namun tetap terpaksa membayar gaji pekerja dan sewa premis dan menanggung ansuran dua kenderaan baru dibeli dan kos penyelenggaran kenderaan walaupun tidak digunakan.

“Bagaimanapun, mujur ada pembiayaan daripada AIM, ia sangat membantu terutama dalam mengembangkan perniagaan, berikutan syarat pinjamannya mudah dan konsep bantu membantu kalangan sahabat, misalnya rakan saya sahabat AIM blok Kota Kemuning (Cawangan Shah Alam).

“Saya juga gemarkan kaedah pembiayaan ditawarkan AIM, misalnya pinjaman berjumlah RM20,000 saya ambil secara jangka pendek, jadi hanya ambil masa enam bulan untuk melunaskan kerana pinjaman itu khusus untuk pusingan modal,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat