Belum ada parti, Idris tak pasti pertahan Sungai Udang atau tidak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron masih belum memuktamadkan keputusan sama ada mahu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang yang dimenanginya sejak tahun 2013 atau sebaliknya.

Idris menegaskan, beliau sedang mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum membuat keputusan muktamad mengenai kerusi yang bakal ditandinginya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Katanya, jika bertanding pada PRN nanti, beliau tidak akan menggunakan simbol Barisan Nasional (BN) kerana dipecat daripada UMNO.

“Saya belum pasti lagi (kerusi yang akan ditandingi) tetapi yang pasti saya tidak akan bertanding di bawah logo BN kerana saya sudah kena buang daripada parti.

“Walau apa pun yang terjadi, lawan tetap lawan dan Insya-Allah pengundi di negeri ini bijak membuat pilihan siapa yang akan menjadi pemimpin mereka,” katanya memetik BH, pada Isnin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November dan hari mengundi pada 20 November manakala undi awal pada 16 November.

Idris yang enggan menjelaskan parti mana akan disertainya aman berbincang dengan pelbagai pihak, terutama pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengenai kerusi bakal ditandinginya.

BN pula dilaporkan akan mempertaruhkan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad Idris untuk mempertahankan kerusi DUN Sungai Udang.

Idris sebelum ini tewas kepada Mohamad Ali dalam perebutan jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada pemilihan parti tahun 2018.

Namun, Idris yang menjadi Ketua Menteri Melaka untuk tempoh sepenggal bermula tahun 2013, memenangi DUN Sungai Udang selama dua penggal sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pada PRU-14, Idris yang ketika itu mewakili BN menewaskan Mohd Lokman Abdul Gani (PKR) dengan majoriti 2,229 undi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,585FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat