MUDA tak wajar ganti peranan mahkamah bagi tekanan politik kepada Zahid – Umno Johor

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak sepatutnya cuba menggantikan peranan mahkamah dengan tekanan politik atau retorik yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman negara.

Ketua Penerangan Umno Johor Md Israk Abdullah mengingatkan, sebagai sebuah parti politik baharu, MUDA seharusnya mendidik anak muda dengan politik matang dan berfakta, bukannya menanam sentimen kebencian tanpa asas.

Tegas beliau, mengajak rakyat meragui sistem kehakiman adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap undang-undang negara.

“Saya merujuk kepada kenyataan Pemangku Presiden MUDA Amira Aisya Abdul Aziz yang mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) membuka semula kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Pertama sekali, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat dengan sistem perundangan yang lengkap dan dihormati. Keputusan untuk memberikan discharge not amounting to acquittal (DNAA) terhadap Timbalan Perdana Menteri dibuat oleh mahkamah setelah menilai hujah pihak pendakwaan dan pembelaan. Ia adalah satu proses sah berlandaskan undang-undang, dan tidak wajar diputar belit demi kepentingan politik sempit.

“Adalah penting difahami bahawa DNAA bukan keputusan politik, tetapi keputusan undang-undang yang boleh disemak semula jika pihak berkuasa mendapati ada keperluan,” tegas Israk dalam kenyataan media pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan Amira Aisya secara peribadi.

“Sebagai seorang Adun, tugas utama beliau adalah berkhidmat kepada rakyat di kawasannya. Rakyat di kawasan perlu dilihat, didengar dan dibela.

“Janganlah terlalu sibuk mencari populariti nasional melalui retorik politik sehingga mengabaikan masalah dan keperluan sebenar pengundi sendiri.

“Turunlah padang, dekati rakyat, dan bawakan penyelesaian kepada isu-isu tempatan yang menuntut perhatian. Itu lebih baik untuk rakyat dan lebih bermakna sebagai seorang wakil yang dipilih,” tegur beliau.

Sementara itu, Israk menyeru MUDA agar berhenti menjadikan isu undang-undang sebagai modal politik retorik.

“Hormatilah keputusan mahkamah, hormatilah proses perundangan, dan jangan sesekali cuba menggugat keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman negara.

“Politik matang menuntut kita mengangkat hujah dan fakta, bukan mencipta persepsi yang mengelirukan,” ujar beliau.

Terdahulu, parti MUDA hari ini menegaskan pendirian konsisten mereka menentang rasuah serta tidak gentar dengan tindakan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghantar notis tuntutan saman terhadap Setiausaha Agung MUDA, Nuraini Hazikah.

Dalam sidang media yang berlangsung pagi tadi, Nuraini mendedahkan beliau menerima notis tuntutan pada 5 Ogos lalu, yang menggesa penarikan balik kenyataan serta menuntut ganti rugi berhubung dakwaan terhadap Zahid.

Bagaimanapun, melalui peguamnya, firma Daim dan Gamani, satu jawapan balas rasmi telah dihantar hari ini.

Nuraini menegaskan, MUDA menolak dakwaan fitnah tersebut dan melihat tindakan Zahid sebagai peluang terbaik untuk membuktikan kesuciannya di mahkamah.

“Kalau betul beliau bukan seorang perasuah dan tidak ada kaitan dengan 47 kes rasuah yang digugurkan melalui DNAA, maka inilah gelanggang terbaik untuk beliau membersihkan nama,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat