LCS: Audit Forensik Dan Teguran Bekas Panglima TLDM Belum Dinyahklasifikasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas timbalannya, Liew Chin Tong menyatakan laporan pengauditan forensik dan surat teguran bekas Panglima Tentera Laut belum lagi dinyahklasifikasi oleh kerajaan.

Pengauditan forensik Boustead Naval Shipyard (BNS) dimulakan pada tahun 2019 seperti yang diarahkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan laporan disiapkan pada Julai 2020, selepas tumbangnya kerajaan PH.

Malah mereka berkata, atas sebab-sebab yang tidak diketahui, pengurusan Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) memilih untuk melakukan pengauditan forensik bagi tahun 2010 ke 2014 sahaja.

“Pada 8 Ogos, kami telah menyeru agar Jemaah Menteri nyahklasifikasikan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan
(JKSTUPKK) berhubung Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV), Berkeupayaan Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kementerian Pertahanan Malaysia yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang, laporan pengauditan forensik projek LCS dari tahun 2019 oleh Boustead Naval Shipyard (BNS) dan juga surat teguran mantan Panglima Tentera Laut.

“Selepas mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Ogos, iaitu hari Rabu yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk siarkan secara umum.

“Laporan JKSTUPKK telah dinyahklasifikasikan semalam tetapi laporan pengauditan forensik dan surat teguran bekas Panglima Tentera Laut belum lagi,” kata mereka.

Walau bagaimanapun menurut Mohamad dan Chin Tong, dapatan pengauditan forensik ini juga amat mengejutkan.

Melihat kelambatan dalam proses nyahklasifikasi laporan penuh pengauditan forensik, mereka sertakan pautan kepada Laporan Prosiding (Hansard) Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) bertarikh 8 Mac 2022 yang memberi butiran-butiran hasil pengauditan walaupun laporan penuh tidak dilampirkan.

“Antara pendedahan yang penting ialah dalam muka surat 27, Prabhat Kumar (Pengarah Eksekutif Alliance IFA, syarikat pengauditan) memaklumkan PAC bahawa “They (mereka yang terlibat) had no intention to deliver the LCS project. They only want – intent to maximise their gain which was issued even before the signing of the LOA with GOM (Government of Malaysia).”

“Terma dan syarat usaha sama BHIC dan Rheinmetall Air Defence AG (RAD) (kedua-dua melalui anak syarikat) untuk menubuhkan Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) berat sebelah dan memihak kepada pihak RAD sehingga menjejaskan kepentingan BHIC. RAD mempunyai kuasa mutlak dalam pengurusan CAD. Keputusan ini juga menyukarkan akses kepada maklumat yang diperlukan untuk memahami butiran operasi perniagaan CAD dan menjalankan audit dalaman.

“Terdapat kepentingan dan tangan tersembunyi di dalam operasi syarikat di mana CAD digunakan sebagai kenderaan untuk menjalankan projek yang dikeluarkan oleh BNS,” katanya.

Selain itu, menurut Mohamad dan Chin Tong bekas Panglima Tentera Laut Laksamana Madya (B) Tan Sri Ahmad Ramli Nor yang merupakan Pengarah Urusan BHIC pada masa itu dan Anuar Murad sebagai Pengarah Program LCS keluarkan LOA dan VO tanpa mengambil kira pandangan dan cadangan pasukan teknikal dan komersial, tanpa berunding dengan LSC Steering Committee dan tidak sesekalipun melindungi kepentingan BHIC.

“Mereka bertindak seumpama mereka berdua sahaja yang berada dalam organisasi tersebut. (muka surat 22, Prabhat Kumar mengatakan bahawa “It is clear that in the case of the LCS programme, Anuar Murad sidestepped the authority of all of his subordinates, and acted in a manner as if they were only two persons in the whole organisation.”). Ia merupakan sebuah percanggahan kepentingan secara terang-terangan di mana Tan Sri Ramli adalah pengerusi kepada LCS Steering Committee dan CAD, dan pada masa yang sama juga Pengarah Urusan BHIC,” jelasnya menurut perincian laporan PAC.

Kesimpulannya kata mereka, semakan dan analisis dokumen dan sejarah urus niaga menunjukkan penyelewengan, penipuan dan salah urus yang juga melibatkan pegawai kanan yang mengikut arahan secara buta dan tidak menaikkan red flags dalam perolehan tersebut.

“Pelanggaran tanggungjawab fidusiari amat jelas di situasi ini dan merupakan sebuah jenayah pecah amanah.

“Salah laku ini tidak akan terbongkar tanpa siasatan yang diarahkan oleh kerajaan PH,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat