KUALA LUMPUR – Sudahlah ditolak akar umbi dan tidak ada pengaruh bagaimana mahu menghancurkan PKR soal Datuk Seri Rafizi Ramli.
Bekas Timbalan Presiden PKR berkata, memandangkan beliau kalah pemilihan sekali gus hilang pengaruh justeru adalah lebih baik dirinya dicampak jauh-jauh kerana tidak memberi kesan kepada parti.
“Apa niat sebenar Rafizi mahu hancurkan parti? Pulak dah. Dalam tempoh 3 bulan ada beberapa kerat dalam PKR yang dah bagi macam-macam label kepada saya.
“Mula, ditolak akar umbi sebab tak pandai jaga akar umbi. Kemudian, saya tak ada lagi bagus kerana jadi beban dah kepada parti dan kerajaan.
“Kemudian, memujuk saya supaya jangan letak jawatan. Kemudian lepas itu, tuduh merajuk bila saya letak jawatan. Sekarang yang terbaru tuduhan mahu hancurkan parti.
“Eh, kalau dah ditolak akar umbi dan tidak ada pengaruh, baguslah campak jauh-jauh, bukan ada kesan pun. Kalau tidak ada pengaruh, macam mana boleh hancurkan parti pula? soal Ahli Parlimen Pandan itu dalam hantaran terbarunya.
Bekas Menteri Ekonomi itu memberitahu, tuduhan terbaru ini datang dari seorang yang bernama Datuk Azman Abidin.
“Siapa Azman Bidin ni? Dia orang hebat dalam PKR, walaupun rakyat mungkin kurang kenal sebab itu hari ini, saya nak kenalkan Datuk Azman Abidin.
“Kehebatan beliau walau apa pun terjadi dalam politik dalaman PKR, dia mesti dapat tempat bergaji besar dalam kerajaan. Masa arwah Tan Sri Khalid jadi MB, dia orang kuat Tan Sri Khalid dan dilantik jadi pegawai MB mati-matian tolak Azmin.
“Bila Azmin jadi MB pula, tiba-tiba dia pusing sokong Azmin, jadi pegawai kepada Azmin pula.
“Bila Datuk Seri Anwar jadi PM, walaupun kelibat dia kita tak nampak sangat semasa kempen nasional PRU-15, tiba-tiba dia jadi Setiausaha Politik PM.
“Dia adalah salah seorang dari setiausaha politik PM, 3 serangkai selain dari Shamsul Iskandar dan Chan Ming Kai yang ligat habiskan masa berkempen di bawah untuk buang pimpinan PKR yang mereka kata tidak sehaluan dengan mereka,” dedah Rafizi.
Beliau mendakwa lagi, ketika orang sibuk mentadbir negara, mereka sibuk atur di belakang dengan kemuncaknya menyusun Nurul Izzah Anawr bertanding sebagai Timbalan Presiden.
“Kalau ada yang rasa macam pernah baca mengenai Azman Bidin, dia pernah menghiasi berita di media mengenai satu dakwaan salah laku kes juta-juta di DBKL.
“Kita bersangka baiklah bila dia kata namanya disalahgunakan orang. Jadi yang muda-muda dalam PKR boleh buat pilihan – model politik yang serasi dengan kita. Jenis pandai swing asalkan laba dapat dekat kita atau jenis yang berpegang kepada idealisme reformasi yang ambil jalan susah walaupun tidak ada laba.
“Saya tak sabar nak tengok Datuk Azman Bidin berkempen seluruh negara untuk dapatkan 80 kerusi Parlimen dalam PRU-16 nanti dengan panduan dari Ramanan, insya-Allah Azman Bidin akan bawa era baru PKR.
“Go Datuk Azman Bidin. Kami support ramai-ramai,” kata Rafizi lagi.



