Tidak ada keadilan”: Satu dekad selepas penembakan MH17, keluarga mangsa masih mencari penutupan. Penembakan pesawat Malaysia Airlines MH17 berlaku pada 17 Julai 2014, hanya empat bulan selepas kehilangan MH370 yang tidak dapat diselesaikan.
KUALA LUMPUR – Genap sedekad pesawat komersial Malaysia Airlines (MAS) MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara ketika melalui ruang udara timur Ukraine yang dikuasai pemberontak, keluarga mangsa masih belum mendapat keadilan yang diharapkan.
Pada hari malang tersebut, pesawat Boeing 777, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di timur Ukraine, sebuah wilayah yang bergolak dengan konflik antara tentera Ukraine dan pemisah pro-Rusia.
Semua penumpang dan anak kapal di dalam pesawat tersebut terbunuh, termasuk ramai kanak-kanak dan seluruh keluarga, menyebabkan rasa kehilangan dan kejutan yang mendalam di seluruh dunia.
Sebilangan besar mangsa adalah warganegara Belanda. Selebihnya adalah warganegara dari beberapa negara lain termasuk Malaysia, Australia, Indonesia, Amerika Syarikat, dan United Kingdom.
Bagi Malaysia dan MAS sendiri, insiden MH17 ini tidak ubah seperti sudah jatuh ditimpan tangga kerana beberapa bulan sebelumnya, atau lebih tepat pada Mac 2014, sebuah pesawatnya MH370 hilang tanpa dikesan sehingga hari ini.
Pesawat tersebut hilang tanpa jejak sebaik berlepas pada awal pagi, 8 Mac 2014, menuju Beijing, mencetuskan misteri gobal yang masih belum dapat dijawab hingga ke hari ini. Walaupun terdapat pelbagai andaian dan teori oleh pakar penerbangan, sehingga kini persoalan mengenai mengapa pesawat itu berpatah balik ke Semenanjung Malaysia, masih belum terjawab.
Mengingati kembali kemalangan MH17, bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman memberitahu Bernama, “I just went numb. Hanya empat bulan sebelum itu, kami telah kehilangan MH370. Pada masa berita MH17, saya berada di China, sebagai sebahagian daripada delegasi yang mengiringi Menteri Pengangkutan yang baru dilantik, untuk mesyuarat selama dua minggu dengan rakan sejawatan, di mana MH370 adalah topik utama perbincangan.”
Penjenayah masih bebas
Selepas siasatan antarabangsa yang teliti selama bertahun-tahun, pendakwa raya mendakwa tiga warga Rusia dan seorang warga Ukraine dengan pelbagai tuduhan pembunuhan atas penglibatan mereka dalam menembak jatuh pesawat Boeing 777 itu.
Tribunal jenayah The Hague mendakwa mereka tiga rakyat Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov, serta seorang rakyat Ukraine Leonid Kharchenko atas pertuduhan membunuh.
Pasukan penyiasat bersama mendapati bahawa pesawat tersebut terkena sistem peluru berpandu Buk yang telah dibawa masuk ke Ukraine dari pangkalan tentera Rusia.
Rusia menafikan sebarang penglibatan dalam penembakan tersebut, walaupun siasatan mendapati terdapat “petunjuk kuat” bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin meluluskan bekalan peluru berpandu itu.
Tiga tertuduh tersebut juga diperintahkan membayar pampasan lebih 16 juta Euro (RM75.26 juta) kepada keluarga mangsa.
The Hague dalam penghakiman memutuskan bahawa mahkamah tidak meragui sama sekali bahawa MH17 telah terkena sebutir peluru berpandu BUK yang ditembak dari padang di ladang di timur Ukraine.
“Ia jelas daripada gambar jejak asap di langit, kenyataan seorang saksi yang dilindungi, imej satelit, perbualan telefon yang dipintas dan data tiang penghantaran, gambar dan video mengenai seunit BUK TELAR sedang diangkut dan dipunggah,” menurut penghakiman itu.
Walaupun tiga daripada empat suspek didapati bersalah oleh mahkamah Belanda dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada tahun 2022, tiada seorang pun yang mungkin menjalani hukuman mereka kerana sabitan itu dijatuhkan tanpa kehadiran mereka.
Janji Belanda dan Malaysia
Ulang tahun ke-10 tragedi MH17 semalam disambut dengan satu upacara penuh hening di Taman Dudok di Vijfhuizen, berhampiran Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam, di mana penerbangan tersebut memulakan perjalanannya 10 tahun yang lalu.
Upacara tersebut menghormati 298 mangsa, termasuk 43 rakyat Malaysia dan 193 warganegara Belanda, yang terkorban pada 17 Julai 2014.
Bendera Malaysia dan 16 bendera lain dari negara-negara asal mangsa dikibarkan separuh tiang, mencipta suasana yang kuat dan penuh emosi di hadapan barisan bunga matahari, yang melambangkan ingatan dan harapan.
Upacara yang penuh dengan emosi mendalam itu menyaksikan keluarga menahan air mata ketika mereka bergilir-gilir membaca nama orang tersayang mereka. Setiap nama mangsa yang dibaca menambah intensiti suasana emosi tersebut. Acara tersebut turut menyaksikan dua minit hening yang dihayati oleh semua, mewujudkan saat perkongsian refleksi dan kesedihan bersama.
Raja Willem-Alexander, Ratu Maxima, dan Perdana Menteri Belanda adalah antara tetamu kehormat yang hadir pada upacara tersebut.
Mantan Perdana Menteri Belanda ketika insiden tersebut berlaku memberitahu keluarga mangsa, “Hari ini kita bersatu dalam kesedihan dan dalam tekad kita untuk memastikan keadilan bagi mangsa.”
Manakala Perdana Menteri Belanda, Dick Schoof, ketika menyampaikan ucapan berjanji untuk membawa mereka yang bertanggungjawab atas penembakan MH17 ke muka pengadilan.
“Sepuluh tahun berlalu, sangat penting untuk kerjasama antarabangsa kekal, agar satu hari nanti keadilan tercapai.”
Berbanding Belanda yang begitu terkesan, Malaysia hanya membuat kenyataan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT).
MOT dalam kenyataan semalam sempena ulang tahun ke-10 tragedi itu menyatakan “Susulan tragedi ini, satu negara bersedih dan bertekad. Kita berikrar untuk mendapatkan keadilan bagi mangsa dan menuntut mereka yang bertanggungjawab ke atas perbuatan tidak masuk akal ini dibawa ke muka pengadilan.”
MOT juga sekali lagi merakamkan ucapan simpati dan takziah kepada keluarga dan kenalan mangsa peristiwa itu.-SUARA.TV