Jemaah Tabligh Malaysia Terkandas Di India selamat Pulang

- Advertisement -

SEPANG: Pesawat membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di India selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.31 pagi tadi.

Kesemua 96 termasuk 62 jemaah tabligh dibawa pulang dalam misi kemanusiaan menggunakan penerbangan sewaan khas Malindo Air, yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Seramai 34 individu lagi terdiri daripada kakitangan kedutaan Malaysia serta rakyat Malaysia yang terkandas sejak lapangan terbang di India ditutup, manakala baki 11 orang adalah kru Malindo Air.

Mereka terlebih dahulu menjalani ujian pemeriksaan kesihatan COVID-19 sejurus tiba di lapangan terbang dan seterusnya dihantar Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, Nilai serta Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) untuk kuarantin wajib selama 14 hari, bermula hari ini.

Kumpulan itu dibawa keluar kira-kira jam 7.40 pagi dengan menaiki lapan bas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Difahamkan, setiap bas membawa 15 individu ke pusat kuarantin yang ditetapkan.

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman, yang ditemui di KLIA, berkata kesemua mereka yang dibawa pulang sudah menjalani saringan kesihatan di India dan didapati tidak mempunyai gejala.

Katanya, mereka sekali lagi disaring sejurus tiba.

“Ini adalah misi kelima, yang pertama apabila kita membawa rakyat Malaysia dari Wuhan, China. Penerbangan kedua juga dari China, Itali, Indonesia dan Iran.

“Pengalaman membawa pulang rakyat kita dari China memudahkan proses ini dengan teratur.

“Ini adalah misi pertama membawa rakyat kita dari India kerana sebelum ini masih ada penerbangan keluar dari India selain kumpulan yang dibawa pulang dengan penerbangan khas tanpa aturan khas seperti ini,” katanya kepada pemberita, pagi tadi.

Mohtar berkata, berdasarkan maklumat daripada jemaah tabligh, beliau dimaklumkan ada antara mereka ke India sejak Februari dan menjalankan aktiviti keagamaan.

Bagaimanapun, katanya apabila kerajaan India menutup pintu sempadan dan jumlah kes COVID-19 semakin tinggi, kesemua rakyat Malaysia terbabit terperangkap di negara berkenaan.

“Itu yang kita usahakan untuk membawa mereka pulang selepas mereka memohon kerajaan membantu.

“Wisma Putra menyelaraskan perkara ini melalui Pejabat Perwakilan di New Delhi. Kali ini juga kita tidak menghantar pegawai kesihatan dan NADMA terlebih dahulu ke India untuk membawa mereka yang terkandas pulang,” katanya.

Pada masa sama, Mohtar berkata, masih ada lagi rakyat Malaysia yang terkandas di India kerana berdepan isu Imigresen dan repatriasi seterusnya hanya akan dijalankan jika ada permohonan serta usaha diatur Pejabat Perwakilan di India.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Redzuan MD Yusof, dalam satu kenyataan, berkata selepas mengambil kira kumpulan itu kembali dari negara yang berisiko tinggi dengan jangkitan pandemik COVID-19, mereka perlu dikuarantin wajib selama 14 hari di pusat pemantauan.

Katanya, pusat pemantauan itu diselia oleh petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, individu terbabit tidak dibenarkan ada perhubungan dengan masyarakat termasuk ahli keluarga, kecuali petugas kesihatan yang akan membuat saringan dua kali sehari bagi memastikan mereka benar-benar sihat dan dibenarkan keluar selepas tamat proses pemantauan.

-Berita Harian-

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat