KUALA LUMPUR – Shell menjangkakan permintaan gas di Asia Tenggara akan terus meningkat secara konsisten menjelang 2035, meskipun pengeluaran gas asli di rantau ini diramalkan akan menurun sebanyak 20 peratus oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).
Ketua Pegawai Eksekutif Shell Wael Sawan berkata, penurunan pengeluaran itu perlu diganti dengan sumber lain dan pilihan paling praktikal ialah gas asli cecair (LNG), memandangkan kebanyakan infrastruktur tenaga di rantau ini sudah berasaskan gas.
“Secara logiknya, LNG merupakan pengganti paling sesuai kerana infrastrukturnya telah tersedia.
“Apa yang penting sekarang ialah kontrak bekalan jangka panjang yang mampu menjamin kestabilan dan memenuhi pertumbuhan permintaan akan datang,” katanya dalam Forum Peranan Gas dan LNG dalam Peralihan Tenaga pelbagai dimensi Asia sempena Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur,lapor Utusan.
Wael turut menekankan Asia Tenggara sememangnya mempunyai hubungan yang kukuh dengan LNG, bukan sahaja dari segi pengeluaran, tetapi juga dari sudut permintaan yang semakin meningkat.
“Negara seperti Malaysia telah memainkan peranan penting dalam industri LNG, sama ada dari segi pengeluaran mahupun perdagangan,” katanya.
Jelas Wael, negara-negara seperti Filipina dan Thailand juga kini semakin bergantung kepada LNG melalui aktiviti import yang meningkat, menjadikan Asia Tenggara sebagai pusat pertumbuhan permintaan LNG global.
Dalam pada itu, Wael berkata, Shell memberi penekanan terhadap penggunaan kecerdasan buatan (Al) dan teknologi digital dalam meningkatkan kecakapan operasi LNG, sambil komited terhadap usaha mengurangkan jejak karbon, khususnya pelepasan metana, dalam rantaian bekalannya.
“Syarikat kini memberi tumpuan serius kepada pengurangan pelepasan metana ke hampir sifar menjelang 2030, merangkumi semua peringkat daripada pengeluaran, penghantaran hingga ke proses regasifikasi.
“Matlamat untuk mencapai hampir sifar pelepasan metana menjelang 2030 adalah minimum yang perlu dicapai oleh industri ini untuk memastikan LNG kekal relevan dan diterima pelanggan jangka panjang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Shell mengesahkan kargo LNG pertama dari Kanada dijangka tiba di Asia pada hujung tahun ini, menandakan permulaan aliran bekalan baharu dari pantai barat Amerika Utara ke Asia.
“Projek ini merupakan langkah berani dan menjadi perintis dalam membuka laluan bekalan LNG Kanada ke Asia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Global dan Pengerusi JERA Co Inc (JERA), Yukio Kani berkata, beberapa tapak berpotensi di Teluk Tokyo, Jepun telah dikenal pasti untuk inisiatif penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).
Beliau menambah bahawa Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan JERA telah pun mengumumkan satu kajian bersama yang memberi tumpuan kepada CCS rentas sempadan.
“JERA mempunyai empat terowong LNG dan 16 loji janakuasa terma berasaskan gas di Teluk Tokyo. Kuasa angin luar pesisir kami akan mula beroperasi sekitar tahun 2030 dan kami akan mencampurkan molekul hijau itu ke dalam bekalan pusat data kami,” katanya.
Antara panel yang terlibat dalam forum tersebut adalah Naib Pengerusi S&P Global, Dr. Danial Yergin merangkap Pengasas CERAweek, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Global JERA (syarikat Penjana kuasa terbesar di Jepun), Yukio Kani.