Oleh Zihan Zari
GERIK – Projek Kelestarian MADANI Tanaman Betik Sekaki melalui Dana Komuniti di bawah seliaan Kolej Komuniti Gerik (KKGP) sememangnya berpotensi untuk dikomersialkan selain memberi pulangan lumayan serta meningkatkan pendapatan komuniti setempat di Kampung Kuak Hulu, dekat sini.
KKGP dalam satu kenyataan memaklumkan Dana Komuniti merupakan salah satu usaha kerajaan untuk memperkasakan pembangunan komuniti secara inklusif dan berfokus kepada potensi setempat.
“Pelaksanaan projek ini, melibatkan tiga kampong terpilih termasuk Kampung Kuak Hulu yang menerima peruntukan sebanyak RM100,000 bagi pembangunan ekonomi masing-masing.
“Melalui projek ini menjadikan kampung terlibat sebagai pemacu pembangunan komuniti melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi selari dengan nilai Malaysia MADANI,”kata kenyataan itu.
Sementara itu, Pengerusi Projek Sejati MADANI Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu, Mohd Zaidi Bakri, berkata projek ini yang diusahakan oleh JPKK Kuak Hulu bertujuan untuk membantu penduduk setempat bagi menjana pendapatan melalui projek pertanian moden dan mampan.
Menurut beliau, projek ini memberi manfaat kepada sepuluh orang peserta sejak ia dilaksanakan pada awal Julai tahun lalu, di samping mewujudkan model pembangunan bersepadu di antara komuniti setempat dan institusi pendidikan.
“Selain itu, sebagai menyokong kelestarian ekonomi kampong berdasarkan potensi sebenar dan mengangkat komuniti melalui latihan, penyertaan dan tanggungjawab bersama,”katanya.
Ujarnya, jangkaan setiap peserta mendapat pulangan bersih antara RM2,000 hingga RM2,500 selepas tanaman membuahkan hasil, bergantung pada harga pasaran semasa.
Pada masa yang sama, Pengerusi JPKK Kuak Hulu, Mohd Nazri Md Midah berkata projek ini yang diilhamkan oleh Perdana Menteri dijangka akan diperluaskan ke kawasan lain dengan fokus khusus kepada pengeluaran makanan tempatan sekali gus menyumbang kepada rantaian keselamatan makanan negara.
Beliau berkata bagi mengatasi dan mengelak lambakan buah, pihaknya bersama KKGP telah menganjurkan Kursus Pemprosesan Sos Cili Betik dan Jem Buah Betik.
Tambahnya, projek ini sebagai salah satu usaha JPKK untuk menarik minat golongan belia untuk melibatkan diri di dalam sektor pertanian.
Untuk rekod, Betik Sekaki dikenali sebagai betik Hong Kong atau nama saintifiknya Carica Papaya merupakan sejenis varieti betik paling kedua popular di Malaysia selepas Eksotika.
Ia mempunyai ciri-ciri tumbesaran yang cergas serta mampu mengeluarkan hasil yang konsisten dan tinggi hasilnya.
Ruas pokoknya agak rendah, bunganya keluar seawal 3-4 bulan selepas ditanam dan buah akan mula terbentuk pada ketinggian 45 – 60 cm hampir ke tanah dengan saiz buah yang sederhana iaitu 1.5 hingga 2.0 kilogram (kg).
Buahnya berkulit licin, warna sekata dan bebas daripada bintik-bintik, isinya dalam keadaan pejal berwarna merah, dan kandungan gulanya tidak berapa tinggi iaitu 10 peratus (%) brix atau lebih rendah serta mempunyai jangka hayat simpanan yang lama. -SUARA.TV