KUALA LUMPUR- Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket cetak pelekat palsu dan pas lawatan kerja sementara (PLKS) dalam dua serbuan berasingan di Lembah Klang.
Dalam operasi itu, turut ditahan seorang lelaki dan wanita yang juga penjawat awam dipercayai dalang sindiket ePLKS dengan bayaran RM11,000 dikenakan kepada warga asing.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi pertama bermula jam 11 pagi kelmarin, serbuan dijalankan di dua lokasi di Jalan Ipoh oleh sepasukan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Katanya, berdasarkan aduan dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke premis dan membuat pemeriksaan terhadap satu lelaki dan dua wanita warga tempatan yang sedang berurusan di premis terbabit
“Turut ditahan, seorang lelaki warga Pakistan yang berperanan sebagai ‘dalang utama’ sindiket. Semakan awal mendapati, lelaki itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Pasukan operasi menyita 13 pelekat palsu terdiri enam visa Bangladesh, Amerika Syarikat (dua), masing-masing satu visa Indonesia dan Pakistan, satu pelekat muka hadapan Biometrik Pasport Bangladesh, satu set komputer, komputer riba dan mesin pencetak,” katanya dalam kenyataan pada Rabu lapor BH.
Zakaria berkata, modus operandi sindiket adalah meminda dan mencetak pelekat palsu Imigresen untuk dijual kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada dalam negara.
“Pelekat itu akan dijual pada harga sekitar RM100 ke RM120 sekeping mengikut negara yang dicetak. Semua warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“Seorang lelaki dan wanita warga tempatan Malaysia diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, pada jam 6.42 petang hari yang sama, beliau berkata, Jabatan Imigresen menjalankan satu lagi operasi khas di dua lokasi sekitar Maluri, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor.
“Berdasarkan maklumat awam dan risikan dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan dua wanita warga tempatan dipercayai sebagai ‘dalang utama’ serta lelaki warga tempatan.
“Siasatan awal mendapati, wanita dan lelaki yang ditahan adalah penjawat awam. Semua yang ditahan berusia antara 40 hingga 43 tahun.
“Pasukan operasi turut menyita 101 naskhah pasport pelbagai negara terdiri 74 naskhah pasport Sri Lanka, 13 naskhah pasport Myanmar, enam naskhah pasport Vietnam, dua naskhah pasport Indonesia, dua naskhah pasport Ghana, satu naskhah pasport India, satu naskhah pasport Pakistan, satu naskhah pasport Bangladesh, satu naskhah pasport Syria, dua unit telefon bimbit dan satu salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.
Zakaria berkata, turut disita sebuah kenderaan Toyota Vellfire yang digunakan oleh sindiket itu.
“Modus operandi sindiket adalah menguruskan pas lawatan kerja sementara (PLKS) kepada warganegara asing yang berada di Lembah Klang dan tidak memiliki pas.
“Hasil semakan awal mendapati butiran pada ePLKS telah dipinda dan tidak wujud di dalam sistem imigresen. Kadar bayaran yang dikenakan sebanyak RM11,000 bagi setiap seorang dan dipercayai beroperasi sejak hujung tahun 2024,” katanya.
Katanya, semua warga tempatan yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. Seramai dua warga tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.