Peralat tragedi untuk cantas projek LRT Pulau Pinang tindakan tak wajar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menggunakan tragedi untuk menyerang projek yang tidak ada kaitan langsung adalah sesuatu yang amat tidak sensitif terhadap mangsa, keluarga mereka, dan bahkan kepada rakyat yang memerlukan kemajuan infrastruktur yang mampan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung memberitahu, projek LRT di Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Rancangan Induk Pengangkutan yang telah dirancang sejak bertahun-tahun dan merupakan langkah penting untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan berpenduduk padat.

Sebaliknya kata wakil rakyat PKR itu, kemalangan tragis yang melibatkan pelajar UPSI berlaku di Jalan Gerik–Jeli, Perak di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya dan Unit Penyenggaraan Jalan Persekutuan (JKR).

“LRT Pulau Pinang dan Jalan Gerik-Jeli dua isu berbeza di dua negeri berbeza dan adalah tidak wajar memperdayakan tragedi untuk serangan politik.

“Saya merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang mencadangkan agar kerajaan menangguhkan projek LRT Pulau Pinang, dan sebaliknya mengutamakan kerja menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli, susulan tragedi kemalangan yang melibatkan pelajar UPSI baru-baru ini.

“Bagi saya, kenyataan ini bukan sahaja mengelirukan, tetapi juga menunjukkan kecetekan pengetahuan beliau dalam pengurusan kewangan negara
Dua perkara ini langsung tidak berkaitan dari segi lokasi, kementerian yang terlibat, mahupun jenis peruntukan. Adalah tidak bertanggungjawab untuk mencampur-adukkan dua isu yang jelas berbeza semata-mata untuk memperdayakan tragedi tersebut sebagai senjata politik.

“Saya juga hairan mengapa seorang Ahli Parlimen Pulau Pinang sanggup menolak projek pengangkutan awam yang memanfaatkan negeri beliau.
Jalan Gerik–Jeli memang memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa, di samping memperketatkan tahap keselamatan kenderaan berat. Saya turut bersimpati dengan keluarga mangsa. Tetapi penyelesaiannya bukan dengan mencantas projek pembangunan lain,” bidas Chean Chung.

Justeru beliau mengemukakan saran langkah yang wajar dilakukan antaranya menyalurkan peruntukan khas kepada Kementerian Kerja Raya; mengarahkan tindakan segera oleh JKR Negeri dan Daerah dan memastikan semua jalan berisiko tinggi ditambah baik secara menyeluruh dan berterusan.

Ujar Chean Chung, rakyat berhak mendapat maklumat yang tepat dan berasaskan fakta bukan dimomokkan dengan naratif politik yang mengelirukan.

“Saya percaya bahawa pembangunan sistem pengangkutan awam dan keselamatan jalan raya bukan isu yang perlu dipilih salah satu. Kedua-duanya penting, dan kedua-duanya mesti dilaksanakan serentak.

“Tapi bagi puak yang tertagih untuk memainkan isu walaupun dengan menyinggung perasaan keluarga mangsa, ini mungkin berbeza,” kata beliau.

Sebelum itu, Pas Pulau Pinang mencadangkan supaya kerajaan menangguhkan projek LRT Pulau Pinang yang menelan kos RM17.3 bilion dan memberi keutamaan kepada kerja-kerja menaik taraf Lebuhraya Timur–Barat (Gerik–Jeli).

Ketua Penerangannya Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, cadangan itu dikemukakan susulan nahas tragis membabitkan sebuah bas pelajar dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada Isnin lalu.

“Tangguhan projek LRT dan beri keutamaan kepada naik taraf jalan Gerik-Jeli itu yang lebih mendesak demi keselamatan rakyat,” katanya .

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat