Pinda Perkara 152, ganti akta mampu martabat bahasa Melayu

- Advertisement -

Berbeza daripada cadangan peruntukan lain berkenaan perkara menggambarkan identiti Persekutuan Tanah Melayu yang tertera dalam Perlembagaan 1957 dan dibincangkan Suruhanjaya Reid pada tahun 1956, laporan perbincangan mengenai Bahasa Kebangsaan adalah ringkas.

Perenggan 170 Laporan Suruhanjaya Reid menyebutkan – ‘selepas menimbangkan cadangan dikemukakan mengenai perkara berkaitan bahasa kebangsaan, Suruhanjaya menyatakan walaupun penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan tidak dapat dihentikan serta-merta, cara bagaimana penggunaan bahasa lain perlu dibenarkan tidak dapat ditentukan Suruhanjaya’.

Ini bermaksud, terserah kepada pemerintah ataukerajaan untuk memikirkan bagaimana hal ini (penggunaan bahasa Melayu dan bahasa lain) ditangani. Inti pati cadangan Suruhanjaya Reid ialah:

l Bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan

l Untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun, bahasa Inggeris hendaklah diteruskan penggunaannya sebagai bahasa rasmi Persekutuan

l Selepas tamat 10 tahun, terserah kepada Parlimen memutuskan perubahan sesuai mengenai bahasa kebangsaan

l Pemansuhan penggunaan bahasa Inggeris sebelum tamat tempoh 10 tahun tidak praktikal

l Menjadikan bahasa selain bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tidak disarankan

l Penggunaan bahasa lain bagi tujuan pemakluman, pengumuman adalah perlu untuk beberapa tempoh waktu

Inti pati ini dizahirkan melalui Perkara 152 Perlembagaan yang terasnya tidak banyak berubah daripada cadangan Suruhanjaya Reid.

Kali terakhir peruntukan ini dipinda adalah pada 1971, ini bermakna hampir 51 tahun ia tidak pernah diperkemas semula, walaupun banyak berlaku perubahan dalam dasar negara berkenaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau rasmi disangga Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 342), yang kini berusia hampir 59 tahun jika dihitung dari 1963 dan hampir 55 tahun jika dihitung dari 1967.

Akta 342 ini juga disemak untuk kali terakhir pada 1971. Apa yang menjadi kemusykilan kepada rakyat adalah kenapa Perkara 152 dan Akta 342 yang menjadi pasak pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan/rasmi tidak pernah dikaji semula walaupun pejuang, pakar bahasa dan kerajaan menyedari kedudukan bahasa ini terumbang-ambing.

Terma ‘bahasa rasmi’ tidak digunakan dalam Perlembagaan, sebaliknya yang digunakan ialah bahasa kebangsaan. Penggunaan bahasa Melayu bagi urusan rasmi seperti disebut oleh Akta 32 mengangkat kedudukannya sebagai bahasa rasmi.

Namun begitu, peruntukan ini tertakluk kepada Fasal (1) Perkara 152 Perlembagaan yang membenarkan penggunaan bahasa lain, bagi tujuan selain daripada maksud rasmi serta pengajaran dan pembelajaran bahasa lain.

Ia juga memberi kuasa kepada kerajaan Persekutuan dan negeri untuk memelihara serta meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa kaum lain dalam Persekutuan.

Berteraskan peruntukan ini, jelas sekali selain untuk tujuan rasmi, yang diertikan sebagai ‘apa-apa maksud’ adalah kerajaan Persekutuan atau negeri serta sesuatu pihak berkuasa tempatan boleh menggunakan bahasa, selain bahasa Melayu dalam urusan rasmi atau seharian.

Tafsiran ‘tujuan rasmi’ ini juga ketinggalan zaman kerana urusan rasmi pada hari ini merangkumi skop dan aktiviti lebih luas.

Kemajuan bahasa Melayu menerima banyak penentangan bukan daripada rakyat bukan Melayu, tetapi orang Melayu dan kerajaan sendiri terutama jika dikaitkan dengan dasar pendidikan diguna pakai kerajaan, menyulitkan strategi pendidikan untuk pembangunan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan/rasmi atau bahasa antarabangsa.

Hal ini menyebabkan bahasa Melayu sering kelihatan sebagai ‘kalah sabong, menang sorak’. Dalam era globalisasi dan keghairahan universiti mengejar penarafan antarabangsa serta meningkatkan penjanaan, ada universiti berteraskan bahasa Melayu juga meminggirkan bahasa kebangsaan.

Perkara 152 dan Akta 342 sewajarnya disemak semula dan penetapan baharu dibuat mengenai kedudukan bahasa Melayu dalam pentadbiran negara, sistem pendidikan, perbicaraan di mahkamah dan dewan perundangan supaya ini tidak dijadikan bahan polemik.

Badan Eksekutif perlu tegas mengenai penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara bagi urusan dalaman pentadbiran dan merangka dasar terbaru mengenai kedudukan bahasa Melayu selari dengan pembentukan perpaduan dan hubung kaitnya dengan tamadun.

Pembentukan dasar terbaru membolehkan dewan perundangan menghasilkan undang-undang bahasa yang jitu untuk memandu pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan menutup tohmahan mengenai kedudukan bahasa Melayu.

Pembentukan undang-undang bahasa Melayu sebagai naskhah sahih oleh Parlimen akan melancarkan penggunaan bahasa Melayu di mahkamah, kerana ungkapannya akan dilihat dalam konteks alam Malaysia dan ditafsir berdasarkan prinsip keadilan setempat pada hari ini selari piawaian antarabangsa.

Dalam bentuk peruntukan Perkara 152 dan Akta 342 sekarang, hasrat memartabat bahasa Melayu boleh dilihat sebagai ‘jauh panggang dari api’.

Tempoh 10 tahun yang disebut dalam Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan kini berlanjutan kepada lebih 50 tahun. Dalam tempoh itu, banyak berlaku suasana berbolak-balik mengenai penggunaan bahasa Melayu dalam urusan pentadbiran, pendidikan dan kehakiman.

Keadaan ini seperti ‘berjalan dua tapak tetapi mengundur sepuluh tapak’. Mungkin benar seperti telahan beberapa pihak, Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan tidak membantu bahasa Melayu, tetapi memperkukuh kedudukan bahasa Inggeris, kerana apabila bahasa Melayu kekal berpolemik, bahasa Inggeris digunakan secara meluas.

Sebutan tempoh 10 tahun dalam Perkara 152 membangkitkan tanggungjawab di sudut Perlembagaan untuk memaksa Kabinet dan Parlimen meneliti penggunaan bahasa Melayu dalam sektor pentadbiran, perundangan dan kehakiman apabila tempoh itu tiba.

Perkara 152 sepatutnya dilihat sebagai peruntukan transisi akan luput, bukan terus kekal. Selepas 10 tahun, Perkara 152 sepatutnya dipindahkan menjadi satu peruntukan di Bahagian I Perlembagaan yang dikhususkan sebagai, ‘Negeri-negeri, Agama, Bahasa dan Undang-undang bagi Persekutuan’.

Akta 342 pula sewajarnya digantikan dengan peruntukan baharu lebih tegas dan terarah berkait penggunaan bahasa Melayu. Akta berkenaan hendaklah menunjukkan kesungguhan dan komitmen serta memenuhi aspirasi ‘alang-alang berdakwat, biarlah hitam’.

Tulisan tertera dalam akta itu perlu jelas dan memberikan tanggungjawab kepada institusi berkaitan supaya tidak berlepas tangan atau melakukannya sekadar ‘melepaskan batok di tangga’ atau ‘indah khabar dari rupa’.

Penulis adalah Penasihat Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM)

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat