SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata ganggu gugat politik merupakan sabotaj terbesar kepada usha pemulihan ekonomi negeri dan negara akibat kesan penularan wabak Covid-19.
Di Selangor, Amiruddin turut mengakui wujudnya gerakan sedemikian di negeri tersebut namun, beliau yakin kerajaan Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH) masih kuat kerana mempunyai jumlah majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita ada tanggungjawab besar sebagai penyumbang kira-kira 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
“Bayangkan jika negeri ini diganggu gugat politiknya dan hilang fokus, bagaimana kita mahu pulihkan kembali ekonomi?” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Untuk rekod, PH memiliki 48 kerusi daripada jumlah 56 kerusi DUN di negeri itu, manakala Barisan Nasional memiliki 5 kerusi, diikuti PAS 2 kerusi dan 2 kerusi dimiliki calon Bebas.
Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas kejatuhan PH di Kedah pada 12 Mei lepas selepas dua ADUN PKR membuat keputusan keluar dari parti itu seterusnya menyatakan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN).