KUALA LUMPUR, – Yayasan Keluarga Malaysia meneruskan tradisi tahunan dengan menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya bagi meraikan anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik COVID-19.
Majlis yang diadakan malam tadi menghimpunkan 200 anak yatim dari Kuala Lumpur dan Selangor. Bekas Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri berkata, walaupun terdapat lebih 9,000 anak yatim COVID-19 di seluruh negara, program kali ini memberi tumpuan kepada mereka yang tinggal berdekatan bagi mengelakkan kesulitan logistik dan pergerakan.
“Majlis ini kita adakan setiap tahun sebagai tanda ingatan dan kasih sayang kepada anak-anak yatim yang terkesan akibat pandemik.
Yang jauh kita tidak lupakan mereka menerima pemberian khas sempena Aidilfitri sebanyak RM300 yang dikreditkan terus ke akaun masing-masing,” katanya
Selain menikmati jamuan Hari Raya, para penerima turut diberikan cenderahati sebagai penghargaan atas kehadiran mereka. Beberapa kisah menyentuh hati turut dikongsikan, antaranya sebuah keluarga dari Bukit Beruntung, Selangor, di mana tujuh adik-beradik menjadi yatim piatu selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa.
Yayasan Keluarga Malaysia turut memberi jaminan bahawa bantuan tidak terhenti setakat musim perayaan sahaja. Bantuan bulanan secara tetap akan terus disalurkan kepada semua anak-anak yatim yang dikenal pasti.
“Setiap bulan, anak-anak berumur 16 tahun ke bawah menerima RM200, manakala mereka yang berumur 16 tahun ke atas menerima RM250. Ini adalah komitmen kami untuk menjaga kebajikan mereka sehingga berumur 18 tahun, atau sehingga tamat pengajian di institusi pengajian tinggi,”
Majlis ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Yayasan Keluarga Malaysia untuk memastikan tiada anak-anak mangsa COVID-19 yang terpinggir daripada perhatian dan sokongan masyarakat.