Jalur gemilang di dada, tanam penghormatan tinggi terhadap negara sejak bangku sekolah – Fadhlina

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pemakaian lencana Jalur Gemilang secara berperingkat bermula Isnin ini menjadi inisiatif penting kerajaan dalam menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan tanah air dalam kalangan murid di negara ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata amalan pemakaian lencana itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya komitmen besar kementeriannya dalam menggunakan segenap ruang untuk menanam rasa penghormatan tertinggi terhadap negara sejak di bangku sekolah lagi.

“Saya fikir ini adalah inisiatif penting untuk memastikan bahawa semangat patriotisme, cintakan negara dan rasa penghormatan tertinggi pada Jalur Gemilang itu disematkan di sisi anak-anak supaya mereka sentiasa diingatkan tentang tanggungjawab dan kasih sayang mereka kepada watan.

“Paling penting adalah bagaimana kita terus menggunakan segala ruang yang ada untuk menanam semangat itu sejak daripada peringkat sekolah lagi,” katanya pada Majlis Penyerahan Smartboard di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas, lapor BH pada Jumaat.

Fadhlina berkata negara ketika ini amat memerlukan suntikan semangat dan dukungan semua pihak terutamanya dalam usaha memupuk rasa kasih dan cinta kepada tanah air dalam kalangan rakyat.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) akan membekalkan sebanyak dua pin lencana Jalur Gemilang secara percuma kepada semua murid untuk sesi persekolahan 2025/2026 dengan pengedaran akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Jadi kita sama-sama angkat dan mesti disampaikan kepada seluruh masyarakat bahawa ini adalah salah satu inisiatif penting untuk terus memastikan bahawa semangat cintakan negara ini terus dibugar dari semasa ke semasa sejak dari peringkat sekolah lagi,” katanya.

Maklumat lanjut boleh didapati dalam garis panduan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di institusi pendidikan bawah KPM, disertakan bersama surat pekeliling Iktisas bilangan 3/2025 yang dikeluarkan bertujuan memastikan pelaksanaan inisiatif itu mengikut prosedur dan garis panduan.

KPM sebelum ini turut memaklumkan murid yang tidak memakai lencana Jalur Gemilang tidak akan dikenakan diambil tindakan memandangkan inisiatif berkenaan dilaksanakan untuk memupuk semangat patriotisme dan bukan bertujuan menghukum.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat