KPKT salur peruntukan RM5.21 juta kepada MPHS, KJ sindir kalau dulu dah berguling atas jalan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah memperuntukkan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi menambah baik infrastruktur awam di bawah kelolaannya, untuk kesejahteraan penduduk sekitar Hulu Selangor.

KPKT dalam kenyataannya, berkata peruntukkan itu membabitkan 14 projek bernilai RM4.82 juta yang akan dilaksanakan oleh MPHS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM4.16 juta disalurkan melalui MPHS, manakala RM664,000 disalurkan kepada MPKK di Hulu Selangor.

“Projek ini termasuk membaiki dan menaik taraf 10 unit gerai MPHS di Jalan Abdul Hamid berhadapan Pejabat Pos, Kuala Kubu Bharu; Pasar Awam Rasa, Hulu Selangor; tandas astaka Taman Tasik Millenium, Kuala Kubu Bharu; tandas Padang B Taman Tasik Millenium, Kuala Kubu Bharu dan tandas Taman Awam Jejarum di Bukit Beruntung.

“Selain itu, peruntukan itu juga membabitkan projek membaiki dan menaik taraf tandas awam Medan Selera Batang Kali; tandas awam Pasar Batang Kali; menaik taraf tandas awam Pejabat Utama MPHS kepada tandas pintar; kerja-kerja menurap semula jalan-jalan yang sedia ada dan menaik taraf longkang di Kampung Baru Kuala Kubu Bharu Chuang Rasa, Hulu Selangor dan beberapa lagi,” katanya.

Kenyataan itu berkata, peruntukkan terbabit diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dalam lawatan kerja bersempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Kuala Kubu Bharu, Selangor, pada Khamis.

Dalam lawatan itu, Kor Ming turut menyempurnakan perasmian Bomba Sukarela Jalan Padang Tembak di Kuala Kubu Bharu dan menyalurkan peruntukan RM10,000 dalam usaha meningkatkan kecekapan pasukan bomba sukarela.

Selain itu, Kor Ming turut meninjau projek Program Rumah Madani rakyat di Kampung Air Panas, Selangor, yang sudah siap dan diserahkan kepada penduduk yang memerlukan bagi menggantikan rumah usang dan tidak lagi selamat untuk didiami.

Kor Ming dalam kenyataan sama berkata, pihaknya terus komited meneruskan Program Sentuhan Kasih KPKT berdasarkan keperluan dan sebagai salah satu inisiatif KPKT dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk Hulu Selangor.

“Peruntukan berlandaskan pelaksanaan ini bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat dapat terus dipertingkatkan.

“KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan sentiasa bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara bagi merealisasikan perancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Susulan pengumuman Kor Ming itu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara sarkastik berkata, sekiranya peruntukan seumpama itu diumum kerajaan terdahulu sudah tentu berlakunya protes di jalanan oleh pembangkang.

“Kalau zaman dulu-dulu, dah berguling atas jalan dan ‘meroyan’ di Twitter. Adakah berubah?

“Konteks pengumuman peruntukan itu ialah PRK Kuala Kubu Baharu (KKB) tak lama lagi,” bidasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat