Akhirnya KDA FC berjaya lunas semua tunggakan gaji bagi musim 2023

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman (KDA) FC mengesahkan kelab tersebut berjaya menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji bagi musim 2023 hasil usaha tanpa henti pemilik majoritinya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Shamsudin berkata, tunggakan gaji tersebut meliputi semua pemain dan pegawai Pasukan Liga Super, KDA FC B (Piala MFL Bawah 23 Tahun), KDA FC C (Piala Presiden Bawah 20 Tahun), KDA FC D (Piala Belia Bawah 18 Tahun) serta staf pentadbiran kelab.

Menurutnya, tunggakan gaji berjaya diselesaikan pada pada Rabu iaitu sebelum tarikh akhir yang diputuskan oleh Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) pada 20 April ini.

“Alhamdulillah, pihak pengurusan kelab telah berjaya mengatasi masalah tunggakan yang membelenggu kelab sejak dari hujung tahun lepas. Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tidak putus-putus mencipta ruang dan peluang serta mencari penyelesaian terbaik untuk keluar dari belenggu masalah yang dihadapi kelab.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Tan Sri Dr Mohd Daud serta Ahli Lembaga Pengarah yang turut bersama-sama membantu dan tidak lupa juga kepada semua penyokong setia dan peminat Sang Kenari yang mengambil peluang disediakan untuk menyumbang sedikit sebanyak kepada usaha yang dilancarkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis, lapor Sinar Harian.

Tambah Shahrul, kejayaan membayar semua tunggakan gaji musim lalu menyaksikan kelab itu telah memenuhi syarat dan seterusnya mengekalkan lesen kebangsaan bagi bertanding dalam Liga Malaysia musim ini.

Menurutnya, beliau positif dengan perkembangan situasi terkini dan KDA FC akan menumpukan pelaksanaan hala tuju dirancang untuk musim 2024-2025 serta musim-musim yang mendatang dengan lebih tersusun, efektif dan jitu mengikut kerangka yang lebih efisien.

“Bagi musim ini, KDA FC akan memulakan saingan sepakmula kejohanan tempatan bermula dengan pasukan KDA FC C memulakan saingan Piala Presiden pada 21 April ini diikuti KDA FC D pada 4 Mei dalam saingan Piala Belia.

“Manakala pasukan Liga Super akan beraksi pada 11 Mei ini menentang PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. KDA FC B yang merupakan pasukan Bawah 23 tahun akan beraksi dalam kejohanan Piala MFL bermula 21 Mei ini,” ujar beliau.

Tambahnya, KDA FC percaya sebagai sebuah kelab yang diswastakan sepenuhnya selepas proses pemisahan Persatuan Bola Sepak (Football Association) ke Kelab Bola Sepak (Football Club) pada penghujung tahun 2020 hingga kini, kestabilan dan kelestarian kewangan adalah perkara yang amat penting.

Jelasnya, perkara itu diakui mencabar dalam meneruskan kelangsungan operasi kelab di kancah pertandingan bola sepak tempatan mahupun antarabangsa dan KDA FC memerlukan dana kewangan yang kukuh serta stabil.

“KDA FC amat berharap kepada sokongan dan sumbangan berterusan dari semua pemegang taruh industri bola sepak iaitu pihak penaja dan penyokong. Kami menyeru semua pihak diluar sana, pihak korporat, usahawan tempatan untuk bersama-sama memberikan sokongan, dorongan, galakan dan sumbangan untuk membantu pembangunan bola sepak di peringkat negeri mahupun antarabangsa.

“Kami yakin ada pihak penaja yang akan terus bersama kami meneruskan kelangsungan legasi bola sepak Kedah yang sudah menjangkau usia 100 tahun pada tahun 2024 ini,” kata beliau lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat