28,531 calon UPKK 2023 raih 8A – Mohd Na’im

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

PUTRAJAYA – Seramai 28,531 daripada 230,587 calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 berjaya meraih keputusan cemerlang A dalam kesemua lapan mata pelajaran peperiksaan itu.

Keputusan UPKK telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar di Kompleks Islam pada Khamis.

Hadir sama dalam pengumuman itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Dr. Ruslan Said dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JAKIM, Dato’ Hj. Zamani Ahmad Mansor

Mohd Na’im berkata, jumlah itu dilihat meningkat berbanding 19,266 calon memperoleh 8 A pada tahun 2022.

Beliau berkata, sebanyak 88 peratus calon mencatat lulus keseluruhan, manakala pencapaian Gred Purata Skor UPKK secara keseluruhan pula ialah 1.89 mata.

Menurutnya, Gred Purata Skor bagi mata pelajaran al-Quran (1.35 mata), Ulum Syariah (2.52 mata), Sirah (2.31 mata), Adab (2.03 mata), Jawi dan Khat (1.97 mata), Lughatul Quran (2.56 mata), Penghayatan Cara Hidup Islam (1.17 mata) dan Amali Solat (1.17 mata).

“Calon yang mendapat 8A adalah sebanyak 12.37 peratus manakala 7A adalah seramai 18,185 calon atau bersamaan 7.89 peratus diikuti 6A berjumlah 19,606 calon iaitu 8.5 peratus.

“Manakala calon yang mendapat 5A adalah seramai 25,697 orang, 4A (28,422 calon), 3A (48,031 calon), 2A (28,460 calon) dan 1A (22,302 calon),” katanya lagi.

Beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua petugas peperiksaan dan pemeriksaan, Penyelia KAFA, Ketua Guru, Guru KAFA, Guru Data, Setiausaha Peperiksaan dan semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan KAFA, ibu bapa dan calon-calon UPKK dalam mengurus dan mengendalikan peperiksaan UPKK dengan penuh bertanggungjawab dan dedikasi.

Dalam pada itu, menurut kenyataan JAKIM, UPKK merupakan kaedah pentaksiran yang menilai kemenjadian murid dari aspek penguasaan al- Quran dan fardhu ain serta penghayatan cara hidup dan akhlak islamiah.

Katanya, sebanyak 8 mata pelajaran telah diuji kepada calon iaitu, bidang al-Quran, Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah), Sirah, Adab (Akhlak Islamiah), Jawi & Khat, Lughatul Quran, Penghayatan Cara Hidup Islam dan Amali Solat.

UPKK telah bermula pada 1 hingga 30 November lepas bagi Ujian Lisan serta Ujian Bertulis pada 16, 18 dan 22 hingga 24 Januari lalu.

“Sejumlah 230,587 calon telah hadir untuk menduduki UPKK 2023 berbanding 234,931 calon semasa UPKK 2022, menunjukkan penurunan sebanyak 1.85% (4,344 calon) berbanding UPKK 2022.

“Manakala calon tidak hadir seramai 4,721 bagi UPKK 2023 berbanding 8,921 calon semasa UPKK 2022, menunjukkan penurunan sebanyak 47.08% (4,200 calon) berbanding UPKK 2022,” menurut kenyataan itu lagi. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat