KUALA LUMPUR – Jangan ada pihak nak cuba ‘menangguk di air yang keruh’ kalau wujud pun air yang keruh jangan kita melebihi dalam nak pastikan sesuatu kita mesti tahu kedudukan masing-masing,” demikian jelas Datuk Seri Hishamuddin Hussien apabila ditanya mengenai pembubaran parlimen.

Ketua Bahagian Umno Sembrong itu berkata, hak untuk membubarkan Parlimen adalah terletak dibawah kuasa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

“Dalam masa sama apa jua keputusan baginda datang bersama nasihat daripada Perdana Menteri, jadi kita tunggu apa pendirian parti yang saya rasa pendirian itu akan disampaikan dan dipanjangkan ke bawah duli tuanku yang akan menentukan segala-galanya kalau kita nak bincang pasal PRU-15 oleh Perdana Menteri,” katanya.

Ketika ditemui di Perhimpuanan Agung Umno (PAU) hari ini, beliau meminta semua ahli di dalam parti untuk tidak menuding jari sesama sendiri demi kelangsungan perjuangan parti dan diterima oleh rakyat sekiranya berdepan dengan Pilihanraya Umum nanti.

“Kita nak pastikan kelangsungan perjuangan kita bersama perlu pengemblengan daripada kerajaan dan parti dan itu telahpun ditekankan oleh Presiden.

“Jadi nak melihat kehadapan penekanan presiden tadi dalam ucapan dasar bahawa cukup-cukuplah kita menuding jari sesama kita, penting untuk kita rapatkan barisan, penting untuk parti dan kerajaan bergerak seiring dan senada,” katanya