“Ingat, Kluster Putrajaya Belum Lagi Dikenakan Dakwaan” – Zahid

KUALA LUMPUR – “Ingat, kluster Putrajaya itu hanya belum dikenakan dakwaan, dan belum dibersihkan daripada cakap-cakap kedai kopi,” kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian membidas golongan berjawatan yang didakwa tidak tahu berterima kasih.

“Ada golongan yang tidak reti hendak berterima kasih. Mereka lupa, mereka mendapat jawatan dan kuasa pada awal dahulu adalah kerana sokongan kita.

“Tetapi apabila berkuasa, kita diberi bermacam-macam gelaran, kluster itu dan kluster ini. Kalau mereka bercakap benar, kenapa mereka minta golongan yang mereka gelar sebagai kluster mahkamah untuk menyokong mereka mendapatkan kuasa dahulu? Bukankah sokongan sebegitu tidak bermoral? Jelas, mereka hanya berminat untuk terus menerus berpolitik tanpa mengambil kira kepentingan rakyat,” tempelak Zahid dalam ucapan dasar Presiden di WTC pada Jumaat.

Zahid mendakwa lagi, selepas mendapat sokongan, mereka yang berkuasa secara sistematik tidak mahu berikan jawatan kepada para penjawat dalam parti, walaupun mereka lebih berhak, dan lebih berketerampilan untuk mewakili parti dalam kerajaan.

“Hanya pemimpin yang lemah yang tidak mahu orang-orang bijak pandai dan berketerampilan membantu memimpin dan membina negara. Weak leader chooses weak followers!

“Dalam legenda Helen of Troy, seorang wanita telah menghancurkan sebuah negara daripada dalam. Kita seharusnya sedar bahawa lawan-lawan kita itu tidak pernah berhenti daripada berusaha untuk menghancurkan kita. Apabila mereka bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman, ia bererti mereka ada muslihat tertentu.

” Saya percaya, mereka menerima kita, kerana mereka tahu itulah cara mereka boleh membunuh kita. They never love us! Bacalah perlembagaan setiap parti lawan kita. Sedarlah! You are sleeping with your enemies. Mereka menyimpan belati dalam selimut kita. Apakah kita mahu menyambung MOU itu lagi? Soal beliau kepada para perwakilan.

Jelas Zahid lagi, UMNO adalah sebuah parti yang menjunjung Perlembagaan Negara.

“Kita faham bahawa kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah keputusan Kabinet, di mana Perdana Menteri yang akan berurusan dengan memohon perkenan kepada DYMM Yang DiPertuan Agong. Kita tidak mahu mengganggu urusan itu. Tetapi, UMNO sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, kita ada kuasa untuk menentukan arah tuju parti kita sendiri.

“Semua kejadian ini menuntut satu pembaharuan institusi politik dilaksanakan segera, demi memastikan kecelaruan politik dapat dinokhtahkan. UMNO pantas dan terkehadapan mendepani soal pembaharuan institusi politik ini. Cadangan memperkenalkan Undang-Undang Anti Lompat Parti, dan pendanaan politik telah diangkat oleh wakil rakyat UMNO di Parlimen di tengah-tengah parti mereka saling melompat antara satu sama lain.

“Sehubungan itu, UMNO perlu tampil berani untuk bercakap soal pembaharuan institusi politik termasuk pembaharuan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, bagi memastikan suara rakyat dimartabatkan dalam soal penggubalan undang-undang negara dan negeri,”ulas beliau.

Pun begitu Zahid berkata, cakap-cakap soal pembaharuan atau reform hanya bersifat tempelan dan laungan slogan semata-mata.

Katanya, tiada agenda pembaharuan besar mereka laksanakan seperti yang dijanjikan sebelum PRU-14 lalu. Sebaliknya, pembaharuan yang mereka lakukan adalah menamatkan perkhidmatan kakitangan kontrak kerajaan, menutup peranan agensi kerajaan dan menghapuskan skim-skim bantuan buat rakyat.

“Keadaan ini sudah tentu memberikan isyarat yang salah kepada rakyat. Rakyat mengharapkan perubahan dan pembaharuan, namun cakap-cakap siapa pun naik menjadi kerajaan sama saja mula kuat kedengaran. Penambahbaikan kepada sistem pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang kononnya dituduh tidak elok, tidak juga berlaku, kerana sistem pentadbiran negara sudah teratur dengan baik. Direct nego yang dituduh menjadi amalan untuk UMNO-putera, berlaku lagi hebat di zaman mereka.

“Institusi penguat kuasa undang-undang seperti SPRM diletakkan di bawah kuasa orang politik sebagai Ketua Pesuruhjayanya. Kes-kes yang melibatkan mereka semuanya dirunding semula oleh Peguam Negara. Kesemua ini menjadi bukti bahawa parti-parti yang bergabung membentuk kerajaan selepas PRU-14 dahulu, bukanlah merupakan ejen pembaharuan yang tulen. Sebaliknya laungan pembaharuan mereka, hanya untuk memikat ke puncak kuasa. Langkah yang dilakukan mereka bersifat vindictive, atau membalas dendam.

“Malah, mereka juga yang kononnya mempertahankan prinsip integriti, sanggup ‘membeli’ wakil-wakil rakyat kita untuk melompat menyertai mereka. Pada mereka amanah rakyat boleh diperkotak-katikkan. Mereka membina kekuatan dengan cara yang tidak bermaruah.

“Hakikatnya, parti selain UMNO dan BN tidak ada prinsip moral untuk bercakap soal lompat parti atau lompat ‘katak’, contohnya. Dalam PRN Melaka umpamanya, PH menerima ‘katak’ menjadi calon mereka. PN apatah lagi, parti induknya Bersatu berdiri di atas pelompat-pelompat parti yang cuba disucikan dengan gelaran “katak berprinsip”. Perbuatan mereka ini ibarat “berkokok berlagak suci tapi ekor bergelumang tahi”

“Rakyat yang terpesona dengan lunaknya dendangan mereka, akhirnya terpedaya dan mula meluahkan rasa kecewa apabila bermulanya perebutan kuasa sesama mereka, hingga meruntuhkan kerajaan mereka sendiri,” ujar Zahid lagi.

Menurut beliau, UMNO yang menjadi mangsa kepada percaturan politik mereka, akhirnya menjadi penyelamat kerana bersetuju untuk menyertai kerajaan baharu demi memastikan negara dapat ditadbir urus dengan baik.

Bahkan kata Zahid, bukan UMNO yang meruntuhkan kerajaan ketika itu. Malah selepas keruntuhan kerajaan mereka, UMNO dengan tegas menuntut agar pilihan raya umum diadakan semula kerana mandat rakyat telah diperdagangkan oleh mereka yang rakus untuk terus bergayut di puncak kuasa.

“Kita sudah sebut mengenai pengkhianatan lompat parti beberapa kali sebelum ini. Memang ia adalah pengkhianatan kepada amanah rakyat dan ahli parti yang bertungkus-lumus bersengkang mata bekerja untuk memenangkan setiap Ahli Parlimen kita,” katanya.