Sabah benarkan bufet di hotel, restoran – Masidi

- Advertisement -

KOTA KINABALU, 17 Mac  — Sabah membenarkan hidangan secara bufet di semua hotel dan rumah penginapan berbayar yang mempunyai restoran di dalam premis berkenaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata SOP itu termasuk merekodkan kehadiran pelanggan menerusi aplikasi MySejahtera, Sabah Trace atau buku catatan, selain pelanggan perlu membuat imbasan suhu badan serta menggunakan pelitup muka semasa mengambil makanan.

“Setiap hotel dan restoran diminta menyediakan sarung tangan plastik atau cecair pembasmi kuman untuk pelanggan selepas menggunakan sudu penghidang secara bergilir. Semasa beratur di kaunter, semua pelanggan harus mematuhi penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata restoran dan kafe dalam premis turut dibenarkan beroperasi bagi semua perkhidmatan penuh termasuk tempahan bilik dan penghantaran, selain restoran di hotel boleh menerima tetamu secara berkumpulan dengan penjarakan fizikal serta tertakluk kepada kapasiti restoran.

Waktu makan boleh dibuat secara berkala atau berjadual untuk mengelakkan kesesakan, katanya.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata sebanyak 31 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes di Sabah sebanyak 54,001 kes, dengan dua kematian masing-masing satu di Kinabatangan dan Sandakan.

Sebanyak 81 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh di Sabah 53,146 orang, katanya.

Mengulas perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Sabah, Masidi berkata seramai 3,168 individu menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 hari ini, menjadikan keseluruhan penerima suntikan pertama seramai 35,537 orang.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat