Bersatu Bahagian tidak terbubar, yang ada hanya individu terdesak cuba rosakkan imej parti – Azmin Ali

KUALA LUMPUR, 18 Feb 2026 — Ketua Bahagian atau Ahli Jawatankuasa Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mempunyai sebarang kuasa untuk membubarkan bahagian masing-masing mengikut Perlembagaan parti.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dakwaan kononnya beberapa bahagian parti telah dibubarkan adalah tidak berasas, tidak berperlembagaan dan bercanggah dengan peruntukan serta peraturan persidangan parti.

Menurut beliau, Ibu Pejabat Bersatu menerima laporan mengenai penyebaran pautan media sosial dan kenyataan media yang mendakwa Bersatu Bahagian Larut, Lembah Pantai, Kepala Batas dan Tanjong telah terbubar susulan peletakan jawatan beberapa Ahli Jawatankuasa Bahagian.

“Perlembagaan parti tidak memperuntukkan kuasa kepada mana-mana ahli termasuk Ketua Bahagian untuk membubarkan bahagian. Dakwaan ini adalah tidak berasas dan tidak berperlembagaan serta bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan dan Peraturan Persidangan Bersatu.

“Ini adalah tindakan terdesak segelintir individu yang berniat jahat untuk merosakkan imej dan maruah parti serta menggugat kestabilan organisasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azmin menegaskan bahawa Bersatu Bahagian Larut, Lembah Pantai, Kepala Batas dan Tanjong masih wujud dan kekal berfungsi mengikut Perlembagaan parti.

Beliau turut memaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 14 Februari lalu telah mengambil langkah proaktif dengan memberi mandat kepada Badan Pimpinan Negeri untuk memantau setiap bahagian dan mengenal pasti langkah sewajarnya bagi memulihkan bahagian yang berdepan masalah.

Katanya, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuhkan Bersatu di semua peringkat organisasi serta memastikan parti kekal stabil dan berfungsi secara berkesan.

“MPT akan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan peruntukan Perlembagaan yang sedia ada,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Bersatu kini semakin matang dan utuh meskipun berdepan cabaran dalaman, serta akan terus melangkah ke hadapan dengan keyakinan baharu untuk memperjuangkan agenda rakyat Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat