Oleh Zihan Zari
SATUN, THAILAND – Seramai 50 orang pensyarah dari Politeknik Malaysia telah menyertai Program Jelajah Ilmu STEM-TVET Antarabangsa Politeknik di Yayasan Madrasah Darul Ma’aref, dekat sini baru-baru ini.
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dalam kenyataan berkata program bertemakan ‘Menyemai Ilmu, Merentas Sempadan’ ini melibatkan penyertaan pensyarah dari POLIMAS, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dan Politeknik Ungku Omar (PUO).
“Program ini sekali gus memperkukuh hubungan kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Thailand khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ”kata kenyataan itu.
Katanya, program ini dianjurkan secara sukarela, menunjukkan komitmen warga pendidik Politeknik untuk menyumbang kepakaran mereka demi manfaat pelajar di peringkat antarabangsa.
“Pelaksanaan program memberi fokus kepada empat bidang utama, iaitu Matematik, Sains, Elektrik dan Robotik, dengan pendekatan pengajaran berasaskan amali dan interaktif.
“Aktiviti pembelajaran dijalankan secara berasingan antara pelajar lelaki dan perempuan bagi memastikan penglibatan yang lebih efektif serta suasana pembelajaran yang kondusif, ”katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLIMAS, Hamizi Yahya berkata, pihaknya merancang untuk melaksanakan program seumpama ini pada masa hadapan dengan skala yang lebih besar agar lebih ramai warga politeknik dapat terlibat dan meraih manfaat.
“Masa depan kita akan laksanakan program sebegini dengan skala yang lebih besar supaya lebih ramai staf dapat menyumbang kepakaran serta berkongsi ilmu di peringkat antarabangsa,”katanya.
Pengarah Program, Syukrul Hassani Jamaluddin, pula berkata pendekatan pembelajaran berasaskan amali yang diterapkan sepanjang program berjaya menarik minat pelajar dan meningkatkan kefahaman mereka terhadap bidang STEM-TVET.
“Pendekatan pengajaran secara praktikal dan interaktif ini memberi pendedahan awal yang sangat berkesan kepada pelajar, sekali gus menyemai minat mereka terhadap bidang sains dan teknikal,” katanya.
“Program ini merupakan penganjuran kali kedua dan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada politeknik yang terlibat, iaitu POLIMAS, PTSB, PTSS dan PUO.
“Pelaksanaan secara sukarela oleh semua staf menunjukkan semangat kesukarelawanan serta komitmen terhadap pembangunan pendidikan STEM-TVET.
“Program ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan dua hala antara institusi pendidikan Malaysia dan Thailand, di samping menyemai semangat kesukarelawanan, keprihatinan sosial serta jati diri global dalam kalangan warga pendidik, ”menurut POLIMAS.
Sementara itu, Mudir Yayasan Madrasah Darul Ma’aref, Ustaz Dr Ahmad Mohamad Zaki Napalen turut merakamkan penghargaan atas pelaksanaan program ini yang disifatkan amat bermakna kepada pihak sekolah dan pelajarnya.
“Kami amat berbesar hati menerima kunjungan delegasi politeknik dari Malaysia. Program ini bukan sahaja memperkaya pengetahuan pelajar kami dalam bidang STEM-TVET, malah membuka ruang kerjasama pendidikan rentas negara yang sangat bernilai serta memberi inspirasi kepada pelajar untuk merancang masa depan mereka,” katanya.
Bagi pelajar Yayasan Madrasah Darul Ma’aref, Salwa Panglema turut berkongsi pengalaman berkata, program ini sangat menyeronokkan, selain memberi peluang untuk mereka belajar sains dan robotik secara praktikal dan lebih yakin untuk meneroka bidang STEM selepas ini.
Rakannya, Sainab Robbana berbangga dapat mengetahui banyak perkara baru dan melihat sendiri bagaimana ilmu TVET boleh diaplikasikan dalam kehidupan sebenar. Ia membuka mindanya tentang peluang kerjaya dalam bidang teknikal.
Selain pengisian akademik, delegasi turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada pihak pengurusan sekolah bagi membantu kebajikan serta pengurusan 90 orang anak yatim yang berada di bawah jagaan institusi tersebut.-SUARA.TV



