CYBERJAYA — Penyakit Tuberkulosis (Tibi) kekal sebagai masalah kesihatan awam yang serius di Malaysia, dengan majoriti kes melibatkan rakyat tempatan, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan sebanyak 85 peratus kes Tibi yang dilaporkan melibatkan warganegara, manakala hanya 15 peratus melibatkan warga asing.
Menurutnya, fakta tersebut menolak persepsi bahawa penularan penyakit itu berpunca terutamanya daripada kemasukan warga asing, sebaliknya risiko penularan dalam komuniti tempatan adalah nyata dan perlu diberi perhatian serius.
“Tibi bukan isu baharu dan telah lama menjadi penyakit endemik di negara ini. Ia memerlukan kerjasama semua pihak untuk ditangani secara berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dzulkefly menjelaskan bahawa penyakit itu bukan sekadar masalah klinikal, malah turut dipengaruhi faktor sosioekonomi seperti kesesakan tempat tinggal dan kekurangan zat makanan.
Penyakit Tibi berpunca daripada bakteria Mycobacterium tuberculosis yang boleh dirawat dan disembuhkan sepenuhnya sekiranya dikesan awal serta pesakit mematuhi rawatan antibiotik sekurang-kurangnya selama enam bulan.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya lebih peka terhadap gejala awal seperti batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam atau berpeluh pada waktu malam serta penurunan berat badan tanpa sebab.
Beliau turut menekankan kepentingan menghapuskan stigma terhadap pesakit Tibi kerana sokongan keluarga dan komuniti memainkan peranan penting dalam memastikan pesakit menamatkan rawatan.
Selain itu, langkah pencegahan seperti imunisasi BCG kepada kanak-kanak, pengudaraan rumah yang baik dan amalan gaya hidup sihat juga perlu diberi perhatian.
KKM, katanya, komited memperkukuh strategi pengesanan aktif serta kerjasama antara agensi kerajaan melalui pendekatan menyeluruh bagi menamatkan endemik Tibi di Malaysia.



