Bursa Malaysia ditutup rendah, indeks susut 12.03 mata

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup rendah, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung berikutan tekanan jualan secara menyeluruh, dalam persekitaran sentimen negatif dalam pasaran.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 12.03 mata kepada 1,479.18 daripada 1,491.21 pada Rabu.

Indeks barometer dibuka rendah 2.72 mata kepada 1,488.49 dan bergerak antara 1,478.03 dan 1,492.53 sepanjang sesi pagi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 885 berbanding 218 manakala 383 kaunter tidak berubah, 766 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 6.10 bilion unit bernilai RM3.62 bilion daripada 5.23 bilion unit bernilai RM3.17 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata saham di Bursa Malaysia ditutup kebanyakannya rendah berikutan petunjuk negatif daripada ekuiti global manakala FBM KLCI ditutup rendah sebahagian besarnya disebabkan oleh aktiviti pengambilan untung dalam YTL Power International Bhd dan YTL Corporation Bhd.

Beliau berkata indeks serantau utama ditutup bercampur-campur berikutan reaksi bercampur-campur terhadap penangguhan penurunan kadar di Amerika Syarikat, dengan saham China dan Hong Kong ditutup tinggi berikutan terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah susulan jualan baru-baru ini.

“Tinjauan positif kami terhadap ekuiti Malaysia kekal kukuh walaupun terdapat jualan, disokong oleh pendapatan korporat yang lebih baik dan keadaan ekonomi tempatan yang menggalakkan.

“Selain itu, jumlah dagangan harian yang meningkat dengan purata jumlah harian sejak awal 2024 yang hampir dua kali ganda purata tahun lepas menunjukkan minat pasaran secara keseluruhan meningkat, memberikan potensi yang besar kepada mereka yang ingin membeli saham pada harga rendah.

“Justeru, kami menjangka FBM KLCI akan mencatatkan peningkatan semula tidak lama lagi dan menjangka akan diniagakan dalam julat 1,480 hingga 1,490 menjelang hujung minggu. Kami mengesan paras sokongan segera pada 1,475 diikuti oleh 1,465 dan paras halangan pada 1,500,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong naik 0.75 peratus kepada 15,391.79, Indeks Komposit Bursa Saham Shanghai meningkat 0.43 peratus kepada 2,845.78 dan Kospi Korea Selatan menambah 0.17 peratus kepada 2,440.04.

Indeks Straits Times Singapura merosot 0.11 peratus kepada 3,138.82 dan Nikkei 225 Jepun susut 0.03 peratus kepada 35,466.17.

Dalam negara, saham wajaran tinggi Maybank berkurangan tiga sen kepada RM9.02, Public Bank merosot empat sen kepada RM4.31, CIMB susut sembilan sen kepada RM5.94, Tenaga Nasional merosot lapan sen kepada RM10.36 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM6.76.

Daripada saham aktif, Artroniq turun 26.5 sen kepada 23 sen, Widad merosot 30 sen kepada 19 sen, Fitters Diversified susut satu sen kepada 4.5 sen, Dagang NeXchange berkurangan 5.5 sen kepada 33 sen manakala Minetech Resources tidak berubah pada 17 sen.

Dalam perkembangan lain, Bursa Malaysia turut menyaksikan dagangan tidak menentu pagi ini, dengan beberapa kaunter mencatatkan kenaikan harga maksimum dan penurunan harga maksimum.

Rexit Bhd mencecah kenaikan harga maksimum kepada RM1.20 sesaham pagi ini, melonjak 30.43 peratus manakala APB Resources Bhd mencatatkan penurunan harga maksimum kepada RM1.75 sesaham, merosot 30 sen daripada ditutup pada Rabu.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 98.70 mata kepada 11,004.11, Indeks FBM 70 jatuh 123.24 mata kepada 14,920.52, Indeks FBMT 100 merosot 87.16 mata kepada 10,673.64, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 78.80 mata kepada 11,111.26 dan Indeks FBM ACE turun 261.83 mata kepada 4,785.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 88.18 mata kepada 16,546.95, Indeks Hartanah susut 8.63 mata kepada 879.73, Indeks Perladangan berkurangan 48.02 mata kepada 7,124.55, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 0.96 mata kepada 172.40 dan Indeks Tenaga merosot 9.89 mata kepada 840.04.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 3.68 bilion unit bernilai RM3.14 bilion daripada 3.32 bilion unit bernilai RM2.73 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 715.58 juta unit bernilai RM103.70 juta daripada 584.38 juta unit bernilai RM66.07 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 1.68 bilion saham bernilai RM366.14 juta daripada 1.41 juta saham bernilai RM370.40 juta semalam.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 554.83 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (1.03 bilion); pembinaan (306.68 juta); teknologi (392.81 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (164.41 juta); hartanah (543.31 juta); perladangan (31.50 juta); REIT (19.58 juta), dana tertutup (72,500); tenaga (181.29 juta); penjagaan kesihatan (88.36 juta); telekomunikasi dan media (80.83 juta); pengangkutan dan logistik (91.10 juta) dan utiliti (202.32 juta). – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat