Kawal emosi, kuasai pasaran: resipi Madammu membina usahawan wanita

Dalam landskap keusahawanan yang semakin mencabar, kejayaan wanita dalam bisnes hari ini tidak lagi bergantung kepada semangat semata-mata, sebaliknya keupayaan mengurus diri, emosi dan realiti pasaran secara seimbang.

Pengasas jenama kecantikan tempatan NOIR, Eriyca Baiduri atau Madammu, melihat kawalan emosi bukan sebagai kelemahan wanita, tetapi kemahiran kepimpinan yang perlu diasah jika ingin bertahan lama dalam dunia perniagaan.

Menurutnya, ramai wanita sebenarnya berbakat dan rajin, namun terperangkap apabila masalah peribadi dan tekanan emosi dibawa terus ke dalam urusan jualan dan pengurusan bisnes.

“Wanita ada kelebihan emosi, tapi kalau tak dikawal, ia boleh jadi penghalang. Bisnes perlukan kejelasan fikiran, bukan keputusan ikut perasaan,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Flagship Store pertama NOIR di Pavilion Bukit Jalil.

Bagi Madammu, kejayaan usahawan wanita bermula dengan disiplin mengurus emosi dan memilih persekitaran yang betul.

Beliau menekankan kepentingan mindset dan sokongan komuniti sebagai asas untuk wanita kekal fokus walaupun berdepan cabaran rumah tangga dan tekanan hidup.

“Sayang diri sendiri dulu. Bila kita stabil, bisnes akan ikut stabil. Circle yang betul sangat penting untuk pastikan kita tak hanyut dengan emosi sendiri,” jelasnya.

Pendekatan ini menjadi teras sistem pembangunan ejen NOIR yang menekankan pertumbuhan mental dan konsistensi, bukan sekadar kejar jualan jangka pendek.

Mengulas tentang strategi perniagaan, Madammu menegaskan bahawa jenama tidak boleh dibina atas rasa ‘syok sendiri’, sebaliknya perlu sentiasa relevan dengan kehendak pasaran.

Dalam era digital yang pantas berubah, beliau mengakui terpaksa keluar daripada zon selesa, termasuk menyesuaikan diri dengan platform seperti TikTok yang kini menjadi medan utama pemasaran.

“Hari ini, bukan soal malu atau tidak. Soalnya, jenama kita masih relevan atau tidak. Pemilik jenama besar pun turun sendiri ke TikTok kerana di situlah perhatian pengguna,” katanya.

Selepas lebih satu dekad membina empayar melalui platform dalam talian, NOIR kini memasuki fasa baharu dengan pembukaan Flagship Store pertamanya satu langkah strategik ke arah pertumbuhan jangka panjang dan persediaan awal ke arah penyenaraian awam (IPO).

“Kami tidak meninggalkan online. Ejen masih berjalan. Tetapi untuk berkembang lebih besar, jenama perlu hadir secara fizikal dan membina kepercayaan yang lebih kukuh,” jelas Madammu.

Pemilihan Pavilion Bukit Jalil sebagai lokasi pertama dibuat berdasarkan kekuatan pasaran tempatan dan keserasian dengan sasaran utama jenama iaitu pengguna Malaysia, khususnya Melayu.

“Kami mahu kuat di negara sendiri dulu. Bila lokal kukuh, jenama akan lebih diyakini,” katanya.

Berbeza dengan persepsi umum yang mengaitkan kejayaan dengan populariti, Madammu percaya angka jualan adalah ukuran sebenar impak sesebuah bisnes.

“Angka bukan sekadar untung. Angka bermaksud perubahan hidup. Bila ejen yang dulu gaji RM1,000 kini jana jutaan ringgit, itu kejayaan sebenar,” katanya.

Menjelang tahun 2026, NOIR menyasarkan pertumbuhan agresif dengan sasaran jualan RM100 juta setahun, selari dengan perancangan peluasan runcit secara berperingkat.

Bagi Madammu, bisnes bukan sekadar produk atau strategi pemasaran, tetapi proses membina manusia yang lebih kuat, berdisiplin dan realistik.

“Kalau kita boleh urus emosi, faham pasaran dan berani berubah, bisnes akan sentiasa ada jalannya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat