Kestabilan politik, pembaharuan ekonomi dorong keyakinan Fitch terhadap Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan ‘Stabil’ oleh Fitch Ratings (Fitch) adalah satu satu pengiktirafan terhadap kemajuan ekonomi Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, menyifatkan ia satu pengiktirafan terhadap kemajuan ekonomi negara seperti aspirasi di bawah kerangka Ekonomi Madani, khususnya komitmen Kerajaan Madani untuk melaksanakan pembaharuan signifikan dalam perundangan dan institusi.

“Pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia ini adalah satu pengiktirafan terhadap kemajuan ekonomi Malaysia seperti aspirasi di bawah kerangka Ekonomi Madani, khususnya komitmen Kerajaan Madani untuk melaksanakan pembaharuan signifikan dalam perundangan dan institusi yang menghasilkan dasar yang lebih jelas dan baik serta pengurusan ekonomi yang berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Fitch telah mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan ‘Stabil’.

Pemacu utama yang menyokong penarafan itu adalah momentum pertumbuhan yang kukuh dan meluas; kedudukan politik yang stabil; lebihan akaun semasa secara berterusan dengan pelaburan langsung asing yang teguh dan penurunan defisit fiskal.

Fitch menyatakan bahawa kepastian dasar dalam negara telah bertambah baik ekoran kestabilan kerajaan yang dicerminkan oleh pengenalan pelbagai pembaharuan ekonomi, termasuk pengukuhan tata kelola entiti milik kerajaan serta perundangan, antara lain Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

Perkara itu adalah selaras dengan pandangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menyatakan bahawa pelaksanaan agenda pembaharuan oleh kerajaan adalah bertepatan dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan inklusif.

Ekonomi Malaysia berkembang kukuh pada 5.3 peratus bagi suku ketiga 2024, didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan prestasi sektor luar yang bertambah baik.

Kerajaan yakin untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang teguh pada 2024, dengan semakan semula unjuran lebih tinggi dalam lingkungan 4.8 peratus dan 5.3 peratus berbanding anggaran awal antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus.

Kerajaan komited untuk melaksanakan konsolidasi fiskal, merapatkan jurang defisit secara beransur-ansur yang dianggarkan 4.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 kepada 3.8 peratus pada 2025.

Belanjawan 2025 telah digubal untuk menyokong momentum pertumbuhan ekonomi, dengan unjuran pertumbuhan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2025.

Kerajaan komited untuk meningkatkan pengurusan fiskal melalui perluasan asas hasil, penggunaan sumber yang optimum dan meneruskan rasionalisasi subsidi, khususnya RON95.

Pembaharuan struktur dan institusi juga diberi keutamaan selaras dengan kerangka Ekonomi Madani untuk mentransformasikan ekonomi, meningkatkan nilai rantaian, menggalakkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi serta meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat