KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) masih belum memuktamadkan sebarang keputusan mengenai kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata, PH mengambil kira pelbagai aspek perkembangan di Sabah sebelum membuat keputusan.
Perkembangan ini susulan pendirian Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengutamakan kelanjutan kerjasama dengan PH pada PRN.
Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Setakat ini kita memang kerjasama dalam kerajaan negeri berjalan seperti biasa,” kata Mustapha, lapor FMT pada Isnin.
PH Sabah menjadi sebahagian pentadbiran Sabah selepas tujuh Adunnya menyatakan sokongan kepada Hajiji dan kerajaan pimpinannya ketika kemelut politik Sabah pada Januari tahun lalu.
PRN Sabah akan diadakan susulan penggal pemerintahan kerajaan negeri kini bakal tamat pada Oktober tahun depan.
Berhubung kerjasama dengan parti lain, Hajiji dilapor berkata ia bergantung kepada situasi semasa serta penerimaan mereka.
Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN ) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut dimaklumkan mengenai kedudukan dan peluang GRS pada PRN akan datang.
Komponen GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).