‘Bukan tak bagus…’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malam kelmarin, senarai 12 lagu yang memburu gelaran Juara Lagu diumumkan sebaik Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-35 yang dipentaskan dalam tiga episod, melabuhkan tirai di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Lumrah setiap kali berlangsungnya Anugerah Juara Lagu (AJL), pasti kedengaran cakap-cakap belakang yang mempertikaikan pemilihan lagu bersaing di pentas akhir, baik dalam kalangan peminat mahupun penggiat industri dan pemuzik sendiri.

Edisi ke-35 acara anugerah berprestij ini juga tidak terlepas daripada kontroversi apabila beberapa lagu yang dianggap ‘kuat’ dan popular, gagal bolos senarai finalis.

Mempertahankan keputusan dibuat, ketua juri, komposer Azmeer menyifatkan senarai finalis AJL35 penuh ‘warna’ kerana lagu terpilih mewakili pelbagai genre.

Namun, Azmeer tidak menafikan senarai peserta akhir dipertikaikan, sama seperti penganjuran lalu.

Akur dengan hakikat AJL tidak pernah lari daripada kontroversi, Azmeer berkata, setiap karya diadili daripada pelbagai aspek.

Azmeer menjawab persoalan peminat yang membangkitkan mengapa lagu Sembah ciptaan Naim Daniel dan Iqie Hugh, yang didendangkan Naim yang meraih trofi Juara Lagu pada AJL34, tidak terpilih.

Peminat juga mempertikaikan keputusan juri menolak lagu Sakit ciptaan dan nyanyian bersama Zynakal dan Yonnyboii.

Berpegang kepada pendirian dibuat, Azmeer berkata, barisan juri menganggap bunyi gitar dalam lagu Sembah ada kalanya terlalu mengganggu vokal.

“Kami faham itu adalah konsep lagu itu, namun dalam pembentukan sesebuah lagu, nilai estetika dan keindahan perlu ada. Jadi, daripada segi itu, markah untuk lagu Sembah agak kurang,” katanya.

 

Komposer yang juga ketua juri AJL35, Azmeer.
Komposer yang juga ketua juri AJL35, Azmeer.

 

Azmeer berkata, lagu Sembah dan Sakit bukanlah tidak bagus.

“Seperti lagu Sakit, saya sukakan lagu itu. Tetapi bagi saya, Sakit lebih kepada lagu yang popular, bukannya lagu untuk pertandingan.

“Seperti lagu Sinaran nyanyian Datuk Shiela Majid, bukannya tidak bagus, tetapi jika ia bertanding, mungkin tidak menang di pentas AJL.

“Maksud saya, bukannya lagu Sakit dan Sembah tidak bagus. Banyak lagu bagus, contohnya Canggung nyanyian Wany Hasrita dan Sebentar nyanyian Dayang Nurfaizah serta lagu duet Ernie Zakri dan Syamel, Takkan Terlerai,” katanya.

Azmeer berkata, juri perlu memilih 12 lagu dengan meneliti pelbagai kriteria seperti teknikal, lirik, nyanyian, melodi dan sebagainya.

“Kami hendak memuaskan hati semua orang, tidak boleh. Kalau saya ada kuasa, saya mahu 17 lagu masuk AJL35.

Tetapi sudah adat 12 lagu saja yang dipilih, jadi kita perlu terima,” katanya.

Mewakili juri, Azmeer memohon maaf kepada peminat yang kecewa apabila penyanyi kegemaran mereka tidak layak ke AJL35.

Mengenai pemilihan penyanyi yang dikatakan melakukan kesilapan di pentas SFMM35 tetapi layak ke AJL35, sekali lagi Azmeer menegaskan, AJL bukanlah pentas untuk juara nyanyian.

“Ini bukan juara nyanyian, tetapi juara lagu. Jadi jangan kita hukum komposer dan penulis lirik sekiranya penyanyi membuat sedikit kesilapan.

“Saya tidak menafikan penyanyi seperti Wany dan Aishah ada membuat sedikit kesilapan di pentas. Tetapi dengan melodi dan lirik lagu itu, markah lebih diberikan membuatkan mata keseluruhan tinggi,” katanya.

 

Lagu Sembah nyanyian Naim Daniel berkolaborasi dengan Man Keedal gagal mara ke AJL35. - Foto TV3
Lagu Sembah nyanyian Naim Daniel berkolaborasi dengan Man Keedal gagal mara ke AJL35. – Foto TV3

 

Azmeer tidak menafikan memilih 12 karya finalis bukan kerja mudah kerana lebih banyak lagu layak ke pentas akhir.

“Saya boleh kata daripada 30 lagu yang bertanding, ada 20 lagu layak ke peringkat akhir. Antara 20 lagu itu markahnya sangat rapat. Ada yang bezanya tidak sampai satu markah pun.

“Sebenarnya, persaingan memang sengit, tetapi harus diingatkan semua lagu yang mara ke peringkat separuh akhir semuanya gred A. Jadi, tiada lagu yang tak bagus,” katanya.

Pada AJL35, komposer Hael Husaini dan Ezra Kong yang dianggap ‘tag team’ mendominasi senarai apabila lima lagu ciptaan mereka, mara ke pentas akhir.

Daripada lima karya itu, Ezra mencipta empat lagu, manakala Hael tiga lagu. Dua single lagi adalah projek kolaborasi mereka.

Lagu itu adalah Hati nyanyian Hael yang dicipta bersama Ezra; Belenggu Rindu (Datuk Jamal Abdillah, Wany Hasrita ciptaan Hael dan Ezra) serta Kau Sakiti (Amir Masdi ciptaan Faizal, Mike, Ezra, Romeo & Mage).

Turut terpilih, Gila (Kaka Azraff, Noki & Loca B ciptaan Noki, Loca B & Ezra) dan Peluang Kedua (nyanyian Hael ciptaan Hael dan MFMF).

Ketika dihubungi, Hael yang tampil pada minggu ketiga SFMM35 mendendangkan lagu Peluang Kedua nyanyian asal oleh Nabila Razali, bersyukur rezeki berpihak lagi kepadanya,

“Pentas SFMM adalah medan tempur yang sangat menakutkan. Kita sebagai artis tidak tahu apa yang boleh terjadi di pentas ini, tetapi Alhamdulillah, rezeki saya untuk ke pentas AJL35.

“Saya tidak menjangka dua lagu ciptaan saya layak ke AJL35. Tugas saya sebagai komposer untuk menghasilkan lagu, jika lagu itu mempunyai rezeki ke AJL35, ia adalah usaha artis itu sendiri, bukan saya seorang,” katanya.

Ditanya sama ada Nabila akan tampil di pentas AJL35 menyanyikan lagunya sendiri, Hael memohon orang ramai mendoakan Nabila segera sembuh.

“Itu saya tidak tahu, apa yang kita boleh lakukan adalah kita berdoa Nabila cepat sembuh. Semoga dia dapat membuat persembahan kerana saya rasa dia lebih sesuai menyanyikan lagu ini,” katanya.

Sebelum ini, Nabila menarik diri kerana mengalami masalah peti suara rosak.

Selain itu, AJL35 bakal menyaksikan lagu 7 Nasihat nyanyian Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sicta; Semalam (Aina Abdul); Hutang (Floor 88 ciptaan Zai Hamzah & Achoi) dan Aku Bidadari Syurgamu (Aishah ciptaan Ippo Hafiz) bersaing.

Turut menempah tiket adalah Gundah (Ernie Zakri ciptaan Ernie Zakri & Sharon Paul); Eh (Zizi Kirana ciptaan Zizi Kirana, Navigator & Mambang) dan Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter ciptaan Dark).

AJL35 akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil oleh TV3 pada 7 Februari depan. Diketuai Azmeer, juri profesional merangkumi Datuk Mokhzani Ismail, Fauzi Marzuki, Ajai, Edrie Hashim, Helen Yap dan AG Coco.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat