Naim ‘lap’ trofi AJL bukan sedih

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyanyi Naim Daniel kecewa dan sedih apabila lagu Sembah yang diramalkan layak ke Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35) tidak membolosi senarai sebagai finalis.

Bagaimanapun, kata juara AJL34 itu, dia akur rezeki tidak berpihak kepadanya, tahun ini.

“Sebagai komposer dan penyanyi, saya memang meletakkan harapan untuk mara ke AJL35. Bohonglah, kalau saya cakap tak kecewa gagal ke peringkat akhir.

“Bagaimanapun, ini adalah aturan dan rezeki daripada Allah SWT. Saya percaya dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain juga. Apabila fikir semula, mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

“Saya percaya barisan juri yang bertanggungjawab mengadili lagu Sembah ada sebab dan alasan tersendiri untuk tidak memilih lagu ciptaan serta nyanyian saya ini. Ini semua di luar bidang kuasa saya. Harapan saya, peminat boleh menerima keputusan ini dengan hati terbuka,” katanya kepada BH Online.

Naim Daniel terharu sokongan peminat terhadap lagu Sembah, ia lebih bermakna daripada kemenangan. - Foto IG Naim Daniel
Naim Daniel terharu sokongan peminat terhadap lagu Sembah, ia lebih bermakna daripada kemenangan. – Foto IG Naim Daniel

 

Naim berkata, dia terharu dengan sokongan peminat yang tidak putus mahu lagu yang menampilkan Man Keedal itu layak ke pentas berprestij itu.

Jauh di sudut hati, katanya, menang di hati peminat sudah cukup memadai, walaupun tak layak ke pentas AJL35.

“Komen peminat disifatkan sebagai justifikasi bermakna. Ini kerana lagu Sembah menjadi pilihan mereka. Sebenarnya itu lebih bermakna daripada kemenangan.

“Jujurnya, saya lebih suka peminat bercakap mengenai hasil kerja saya. Apa yang diketengahkan dalam industri muzik bukan untuk saya seorang, tetapi untuk peminat.

“Saya menghargai dan berterima kasih kepada peminat yang mendoakan lagu Sembah dan setiap lagu yang saya nyanyikan. Saya berharap peminat yang menyokong lagu Sembah daripada hari pertama hingga sekarang boleh terima keputusan ini dengan berlapang dada,” katanya.

Dalam masa sama, Naim menafikan, videonya mengelap trofi kemenangannya di AJL34 yang dimuat naik di Instagram (IG) memaparkan kesedihannya.

“Apa yang dimuat naik dalam IG tidak menampakkan reaksi sedih atau sebagainya, sebaliknya saya mendoakan finalis yang mara ke pentas AJL35 dapat melakukan persembahan yang baik.

“Entri berkenaan sebagai satira dan seloroh saya dalam laman sosial. Bagaimanapun, ia bergantung kepada individu yang mentafsirkannya. Tetapi, apa yang diketengah menunjukkan rasa gembira melihat barisan finalis yang berjaya ke pentas AJL35. Ini kerana semuanya hebat-hebat belaka,” katanya.

Walaupun begitu, Naim berkata, dia tidak akan takkan berhenti berkarya hanya kerana gagal ke AJL35.

“Saya mahu terus maju ke hadapan dengan karya terbaru. Saya tidak menyifatkan perkara ini sebagai satu pengakhiran untuk saya bekerja dan memberikan lebih baik untuk industri muzik.

“Saya akan meneruskan perjuangan dengan lagu seterusnya. Jika ada rezeki, saya mahu cuba dengan lagu bergenre lain. Kalau tiada pun, takkanlah mahu terus kecewa, tak mengapa saya akan terus tampil dengan produk baharu,” katanya.

 

Kolaborasi Naim Daniel dan Man Keedal menerusi lagu Sembah menjadi perhatian peminat. - Foto TV3
Kolaborasi Naim Daniel dan Man Keedal menerusi lagu Sembah menjadi perhatian peminat. – Foto TV3

 

Ekoran itu, Naim berkata, dia berharap orang ramai, tak kira pemain industri ataupun pendengar, dapat memberi sokongan kepada anak muda sepertinya.

“Kita kena bergerak seiring dengan peredaran zaman. Di Malaysia, kita akan ada lambakan bakat baharu yang cuba berkarya. Dan, saya percaya AJL adalah satu platform untuk kami mengetengahkan karya.

“Jadi, orang ramai tak kisah juri atau pendengar dapat membuka mata terhadap anak muda yang ingin berkarya dan mengetengahkan bakat. Saya bersyukur dilahirkan pada era ini, di mana saya dapat bersama dengan anak muda lain berkarya dan meneroka lebih jauh lagi.

“Walaupun hanya anak muda yang sebelum ini hanya dipandang sebelah mata, tetapi kami ada sesuatu yang boleh membuktikan bakat berkarya, setanding dengan orang lama,” katanya.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Sumpah itu berkata, peluang yang diberikan perlu seiring dengan kualiti yang disampaikan.

“Apa sahaja karya yang dihasilkan perlu mempunyai mesej jelas, bukannya dilakukan dengan sambil lewa,” katanya.

Terbaharu, Naim tampil dengan single Purnama pada 27 November lalu, selain mempromosikan single kolaborasi bersama Hael Husaini dan Haqiem Rusli berjudul Lara.

“Saya terharu single Purnama berjaya mendapat sokongan apabila menduduki tempat pertama di carta Recording Industry Malaysia (RIM) dan Carta Malaysia 50 di Spotify. Manakala, muzik video pula mencatatkan sejuta tontonan tidak sampai seminggu dimuat naik di laman YouTube,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat