KOTA KINABALU – Pengarah Pilihan Raya Pas Sabah Tan Sri Annuar Musa mengakui fobia orang Sabah terhadap Pas itu sangat tinggi terutama aspek imej yang dibawa parti Islam itu.
Menurut AJK Pas Pusat itu, imej Pas yang berjubah dan berkopiah itu masih dinilai sebagai negatif.
“Bila kita datang ke Sabah saya mendapati fobia kepada Pas itu tinggi, saya tengok di Tawau orang pelbagai parti hantar anak ke Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI)
bila saya minta ibu bapa yang hantar anak ke PASTI jadi jentera kita (Pas) mereka tidak mahu sedangkan anak mereka pergi PASTI.
“Imej Pas itu masih dilihat sebagai negatif malah kita di Karambunai orang kata kalau boleh turun kempen jangan pakai jubah, jangan pakai kopiah kerana satu dikalangan orang Islam dan satu lagi dikalangan orang bukan Islam melihat Pas sebagai satu ancaman.
“Sedangkan kita nak menerangkan Islam itu bukan ancaman, Islam itu penyelamat termasuk kepada bukan Islam,” katanya dalam podcast Jam Kesebelas.
Annuar juga berkongsi sebagai orang lama dalam gelanggang politik mengakui wujud kekeliruan terutama dalam isu rasuah.
“Saya sebagai orang lama dalam politik daripada mula-mula dulu sampai sekarang bercakap soal rasuah, macam tak boleh selesai termasuk di Sabah…makin banyak bercakap anti rasuah makin kuat rasuah.
“Makin kita nak ambil tindakan kepada orang rasuah, orang ada imej rasuah pula dipertahankan…jadi kenapa kekeliruan ini berlaku?
“Bagi saya kalau pemimpin-pemimpin itu orang yang ada latar belakang agama dia akan menjauhkan diri daripada rasuah. Maka tarbiah, sistem Pas itu jawapan dia
sampailah masanya Pas kena buat self correction dan itulah dilakukan.
“Pas bukan lagi menjadi milik para ustaz, graduan Al-Azhar sahaja tapi Pas ada profesional, itulah calon-calon yang kita tampilkan,” jelas beliau.



