KOTA KINABALU – Pas disyorkan mengubah corak penyampaian di Sabah dengan memberi kefahaman bahawa Pas sebagai parti Islamis tidak pernah sesekali memaksa orang masuk Islam.
Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Syahrudin Awang Ahmad mendedahkan ada dua kepompong yang belum pecah dalam pemikiran orang Sabah terhadap mesej kempen yang dibawa Pas.
“Pernah diaplikasikan untuk PRN16 pada 2020 untuk memberikan gambaran bahawa Pas ini dia terbuka daripada segi penyampaian mesej untuk pembangunan dan dia bukan limited kepada orang Islam semata-mata.
“Bagi saya pendekatan itu bagaimana juga yang diguna di Kelantan baik, cuma perlu ada susun atur gerak kerja yang lebih masuk sedikit ke dalam (ke dalam masyarakat) yang pelbagai… sebab orang Sabah dia masih ada dua kepompong yang belum pecah.
“(Kepompong) pertama adalah kepompong bahawa Pas dan juga Perikatan Nasional (PN) ini adalah parti nasional- kalau dapat buka itu alhamdulillah, tinggal satu.
“Satu lagi adalah teras perjuangan macam mana kita nak berikan kefahaman bahawa Pas sebagai parti Islamis dia bukan memaksa orang untuk masuk agama dan ini yang paling penting.
“Semua orang perlu melihat bahawa Pas membawa nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan itu saja. Untuk konteks Sabah dan sebarang tohmahan, tuduhan ataupun naratif yang cuba nak menunjukkan bahawa Pas parti terrorism misalnya itu disampaikan cuba disematkan dalam minda orang Sabah dengan kepentingan pihak tertentu, tujuan atau niat tidak baik – walhal Islam tidak pernah mengajar begitu,” jelas beliau dalam podcast Jam Kesebelas.
Justeru, Syahrudin mencadangkan untuk Pas memberikan satu ruang -media sosial, fizikal berkait parti itu dalam konteks Sabah.
“Biarkan ruang itu diisi secara sukarela, orang bukan Islam untuk mengetahui apa sebenarnya -soal persepsi timbul terhadap Pas di Sabah ini sebab mereka tak faham.
“Bila tak faham mereka tidak ada tempat untuk merujuk jadi mereka merujuk melalui media sosial tak tepat sebenarnya pergi ke tempatnya.
“Kalau ada ruang itu bebas terbuka untuk bertanya ada konsultan atau pemimpin yang boleh memberikan buah fikiran, menjawab soalan itu sudah cukup baik untuk menjernihkan hilangkan kegusaran,” syor beliau.



