KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menggunakan Sistem Aplikasi MyIdea oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) untuk membantu pengurusan bencana banjir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pagi tadi beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di Parlimen, ini adalah salah satu kertas yang dibentangkan.
“Sebenarnya banyak lagi sistem dan aplikasi yang dibangunkan oleh agensi-agensi di negara kita sebagai sistem sokongan pengurusan bencana.
“Selain kebergantungan kita kepada sumber manusia, saya menyeru agar agensi berkaitan memanfaatkan pengurusan teknologi dan maklumat bencana terintegrasi, untuk membantu kita lebih memahami risiko bencana dan memandu pembuatan keputusan yang termaklum (informed-decision making),” kata Zahid yang juga Pengerusi NADMA di Markas SMART, Pulau Meranti, Puchong pada Selasa.
Zahid juga menegaskan bahawa kita perlu akui bahawa perkembangan teknologi yang pesat seperti IR 4.0, teknologi penderiaan jauh dan sebagainya wajar dimanfaatkan dalam memperkasakan pengurusan bencana.
“Saya ingin mengambil beberapa contoh teknologi yang boleh diaplikasikan dalam pengurusan bencana untuk membantu menyelesaikan isu-isu yang dihadapi iaitu penyediaan makanan yang lebih tahan lama dan mudah diurus untuk mangsa bencana.
“Selain itu, penggunaan teknologi UAV seperti dron berkeupayaan tinggi dalam pemantauan situasi
bencana dan perancangan operasi mencari dan menyelamat; pelaksanaan impact based forecasting; dan perkongsian maklumat real-time, bukan sahaja dengan pembuat keputusan malahan orang awam,” jelas beliau.
Zahid berkata, sebagaimana objektif kedua dalam Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) pada tahun ini, whole society approach perlu dibudayakan iaitu melibatkan penglibatan inklusif yang mana semua peringkat komuniti terlibat dalam pengurusan dan pengurangan risiko bencana yang meliputi aspek pembangunan, sosioekonomi, pendidikan, dan kesihatan.
“Salah satu penanda aras negara yang berdaya tahan ialah apabila sesebuah komuniti berupaya mengurangkan kebergantungan kepada agensi-agensi responder dalam bencana berskala kecil dan sederhana melalui muafakat dan perencanaan yang berkesan dan terselaras.
“Justeru, Program Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) dipergiatkan untuk mencapai objektif pemerkasaan komuniti (early responder) terhadap bencana.
“Saya mengambil maklum bahawa, sehingga September 2023, seramai 24,069 orang peserta dari kelompok ketua komuniti, komuniti umum, belia, NGO, dan komuniti luar bandar dilibatkan dalam program CBDRM Madani Siaga 2023, peningkatan sebanyak 3 peratus berbanding 23,405 orang pada tahun 2022. Sejak tahun 2019, peratusan komuniti pelbagai yang dilibatkan dalam program CDBRM terus meningkat.
“Tumpuan juga diberikan kepada golongan mudah terancam bencana iaitu wanita dan kanak-kanak melalui program Women and Child-Centered Disaster Risk Reduction and Resilient, program kerjasama strategik NADMA bersama UNICEF dan universiti awam untuk meningkatkan penglibatan wanita dan kanak-kanak dalam aktiviti pengurangan risiko bencana, menumpukan kepada
kawasan rawan bencana pelbagai seperti di Yan, Georgetown, Hulu Langat, Kundasang dan Tumpat,” katanya.
Mengulas lanjut kata Zahid, kerajaan telah memperuntukkan jumlah besar bagi membiayai projek tebatan banjir iaitu mencecah RM22 bilion yang meliputi 33 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi yang akan mula dilaksanakan dengan kos melibatkan RM11.8 bilion.
“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku agensi utama bagi persiapan banjir turut diperuntukkan sebanyak RM300 juta di mana RM100 juta bakal disalurkan segera menggunakan peruntukan sedia ada bagi memastikan kelancaran persiapan banjir hujung tahun ini.
“Manakala RM50 juta disediakan di bawah Tabung Bencana Pertanian bagi memberi pampasan sehingga
50 peratus daripada nilai kerugian akibat bencana,” katanya.
Tambah beliau, Belanjawan 2024 turut menyediakan peruntukan kepada sembilan Pusat Pemindahan Kekal, membaik pulih tandas, bilik mandi dan stor di 1,500 Pusat Pemindahan Sementera serta menyewa tandas-tandas bergerak dalam memperkasa kesiapsiagaan menghadapai bencana banjir.
“Turut diperuntukan sebanyak RM563 juta bagi pembaikan cerun seluruh negara termasuk untuk program pemantauan, pencegahan dan pelaporan serta amaran awal melibatkan lebih 2,000 cerun yang berisiko tinggi.
“Inilah komitmen Kerajaan Perpaduan yang senantiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Maka menjadi tanggungjawab kita semua pada hari ini untuk terus bekerja dan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin agar risiko kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa akibat bencana yang melanda negara pada masa hadapan dapat ditangani dengan berkesan,” ujar beliau.