Zoo Melaka Catat Jualan Tiket Masuk RM800,000 Sejak Kembali Beroperasi

- Advertisement -

MELAKA – Jualan tiket masuk ke Zoo Melaka mencatatkan kutipan lebih RM800,000 dengan kira-kira 10,000 pengunjung dalam tempoh 16 hari selepas ikon pelancongan negeri itu kembali beroperasi bermula 1 Okt lepas.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, kedatangan pengunjung ke zoo tersebut mencecah lebih 1,000 orang sehari, dengan jumlah tertinggi direkodkan semalam iaitu 3,500 orang.

“Kita dapat lihat peningkatan jumlah pengunjung ke Zoo Melaka setiap hari bermula 1 Okt lepas hingga semalam dengan kebanyakan datang dari luar Melaka seperti Johor dan Kuala Lumpur.

“Kita jangka jumlah pengunjung akan terus meningkat terutama pada hujung minggu, kerana Night Safari telah dibuka semula setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad,” katanya kepada pemberita selepas Op Gerak Gempur Pembersihan Bersama MPHTJ di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak pengurusan Zoo Melaka mengawal ketat kemasukan pengunjung, dengan hanya 800 orang dibenarkan berada di dalam zoo pada satu-satu masa bagi memastikan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam mengekang penularan COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Shadan berkata, produk pelancongan baharu iaitu ‘Lepak Station’ berkonsepkan pasar malam seperti Jonker Walk, akan dibuka di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini pada hujung tahun ini.

Beliau berkata, pasar malam yang mampu menampung lebih 500 pengunjung pada satu-satu masa itu, bakal menempatkan kira-kira 100 peniaga kecil yang menjual pelbagai produk makanan, pakaian dan kraf tangan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,585FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat