BudayaVerse 2025: Jambatan Baharu Seni Budaya dan Teknologi Dilancarkan di Putrajaya

PUTRAJAYA – Dunia seni budaya Malaysia melangkah ke dimensi baharu apabila BudayaVerse 2025 dilancarkan sempena sambutan Hari Malaysia, menandakan usaha serius menghubungkan warisan dengan teknologi digital.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan pada 16 September lalu di Putrajaya. Program ini diterajui oleh Creative and Cultural Strategic Development Organization (CRESDO) dengan kerjasama pelbagai rakan sinergi industri, termasuk pemain teknologi dan komuniti kreatif.

Inisiatif ini disifatkan sebagai satu anjakan penting dalam memacu ekonomi kreatif negara. Dengan pendekatan integrasi seni dan inovasi, BudayaVerse 2025 diharap dapat melahirkan model baharu yang menjadikan budaya bukan sekadar warisan, tetapi juga sumber komersil yang bernilai tinggi.

Naib Pengerusi CRESDO, Farid Zulkepli berkata program ini lahir daripada kepercayaan bahawa seni dan teknologi tidak harus bergerak secara terpisah.

“BudayaVerse 2025 mewakili kekuatan kolaborasi. Dengan CRESDO dan rakan sinergi berganding bahu, kita membentuk masa depan di mana budaya dan teknologi bergerak seiring bagi memperkasa ekonomi kreatif serta memberi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya.

Antara tarikan utama yang diumumkan ialah Pertandingan Rekaan AI x Budaya, pertandingan yang memberi peluang kepada pencipta visual dan prompter AI untuk menafsir semula seni budaya Malaysia dalam bentuk digital futuristik. Dengan sokongan jaringan AI seperti NOVA NETWORK, NEURAMERGE dan PROMPTER MALAYA yang kini memiliki lebih setengah juta ahli, pertandingan ini dijangka menarik penyertaan besar dari seluruh negara.

Selain itu, BudayaVerse 2025 turut memperkenalkan Pameran & Program SinergiBudaya, satu ruang kolaboratif yang mengundang penyertaan sektor korporat, NGO dan komuniti kreatif untuk bergabung dalam projek tanggungjawab sosial dan kerjasama budaya. Melalui inisiatif ini, penggiat seni dan budaya diberi peluang lebih luas untuk menyalurkan karya mereka dalam bentuk yang mampan dan berdaya saing.

Dengan pelancaran ini, BudayaVerse 2025 dilihat bukan sahaja sebagai platform inovasi, tetapi juga sebagai simbol bagaimana Hari Malaysia diraikan melalui semangat kolaborasi dan keterangkuman merentasi sektor budaya, teknologi dan masyarakat.

Sebanyak RM1,500 disediakan bagi pemenang tempat pertama pertandingan ini manakala bagi pemenang tempat kedua bakal membawa pulang RM700 sementara tempat ketiga RM300.

Untuk maklumat lanjut layari, layari: www.budayaverse.com/ai-competition

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat