Sabah Harap Rundingan MA63 Diteruskan – Hajiji

- Advertisement -

KOTA KINABALU – Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berharap agar siri rundingan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) dapat diteruskan dan disambung dengan kadar segera.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji berkata, pihaknya turut menghargai komitmen kerajaan meletakkan MA63 sebagai teras utama dalam kerjasama dwi-partisan melalui memorandum persefahaman di peringkat persekutuan.

“Atas semangat yang sama, Sabah berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat meneruskan serta menyambung semula pada kadar segera siri rundingan di antara Persekutuan, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak melalui platform Majlis Khas MA63 yang telah dirintis di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Banyak kemajuan awal telah mula dicapai. Kita berkeyakinan tinggi, di bawah kebijaksanaan kepimpinan Perdana Menteri, kita akan dapat bersama-sama membawa nilai dan makna yang lebih besar.

“Berteraskan semangat ‘Keluarga Malaysia’ merentasi wilayah, InsyaAllah, kita berusaha memenuhi kontrak sosial antara wilayah yang telah disepakati para pelopor awal tanah air di bawah MA63,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri bersepakat untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negeri sebagai keutamaan dan memberikan sepenuh komitmen untuk menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dilancarkan pada 29 Mac lalu.

“Mandat rakyat perlu ditunaikan sehabis baik, apatah lagi di kala menghadapi kemelut kesihatan awam luar biasa yang memberi kesan kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Suka saya mengulangi komitmen bahawa selaku ketua kerajaan kepada rakyat dan negeri Sabah, saya ingin mengemukakan jaminan bahawa, yakin dan percayalah, suara rakyat Sabah yang mengutarakan hak-hak negeri, sebenarnya bukan hanya berkisar tentang kepentingan negeri semata-mata.

“Keprihatinan itu lahir atas rasa kecintaan dan kesetiaan kami kepada Persekutuan Malaysia, negara yang telah kita bentuk bersama-sama.

“Setelah 58 tahun, sesungguhnya hasrat kami adalah untuk melihat rakyat dan negeri Sabah diberikan pengiktirafan yang lebih signifikan dalam membawa Malaysia melangkah ke hadapan, membina negara yang jauh lebih makmur, aman, maju dan sentosa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena sambutan Hari Malaysia 2021 peringkat kebangsaan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam tadi.

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan mewakil Ketua Menteri Sarawak ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat