LCS: Tadbir Urus Kementerian Pertahanan Lemah, Kewangan BNS Kritikal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) merumuskan tadbir urus Kementerian Pertahanan untuk kontrak pembekalan enam buah Kapal Tempur Pesisir (LCS) adalah lemah.

Malah dilaporkan sebahagian daripada klausa-klausa kontrak tidak menjaga kepentingan kerajaan serta tidak mengambil kira peraturan dan prosedur yang sedang berkuat kuasa.

“Bukan cuma itu, syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) juga didapati mempunyai kelemahan dari aspek pengurusan dan kekangan kewangan yang amat kritikal.

“Kelemahan klausa kontrak dan syarikat BNS telah menjurus kepada kelewatan pelaksanaan pembinaan enam buah LCS tersebut.

“Kelewatan pihak kerajaan dan pihak syarikat untuk memuktamadkan beberapa komponen projek telah menjejaskan prestasi pelaksanaan projek secara keseluruhan dan akan menyumbang kepada peningkatan kos dan kelewatan penyerahan LCS tersebut.

“Penglibatan anggota pentadbiran di peringkat awal sebelum kontrak ditandatangani telah menyebabkan reka bentuk dan komponen,peralatan yang diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai end user diketepikan,” tegas JKSTUPKK dalam laporan berhubung projek pembinaan enam LCS yang dinyahklasifikasi dan diterbitkan di portal Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), pada Rabu.

Justeru, berdasarkan kepada penemuan siasatan terhadap projek pembekalan enam buah Second Generation Patrol Vessel – Littoral Combatant Ship (SGPV-LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia, Jawatankuasa Siasatan mencadangkan hala tuju pembekalan enam buah kapal itu.

“Opsyen 1 – meneruskan kontrak yakni sekiranya kerajaan hendak meneruskan kontrak, perkara-perkara berikut perlu diberi pertimbangan iaitu syarikat BNS dan Pasukan Projek LCS TLDM perlu memuktamadkan dengan segera perubahan peralatan laitu Integrated Platform Managemont System (IPMS), Decoy Launching System (DLS) dan permohonan pelanjutan tempoh kontrak (Revised Implementation Schedule). Kelewatan memuktamadkan peralatan dan pelanjutan tempoh kontrak akan memberi impak kos dan masa kepada proses menyiapkan pembinaan LCS.

“Juga syarikat BNS perlu segera menyiap dan memuktamadkan Detailed Design. Kementerian Pertahanan pula perlu member tempoh masa secara bertulis kepada BNS,” syor jawatankuasa itu.

Tegas JKSTUPKK, kerajaan perlu membuat kawalan ketat ke atas bayaran kemajuan kepada Syarikat BNS supaya sumber kewangan tersebut hanya digunakan untuk membiayai pembinaan LCS sahaja, ini bagi mengelakkan bayaran dibuat kepada pihak lain yang tidak berkaitan dengan projek pembinaan LCS.

“Liquidated Damages (LD) perlu dikuatkuasakan ke atas syarikat BNS seperti mana diperuntukkan kontrak bai penyerahan setiap kapal (PHO). Kerajaan hendaklah tidak mempertimbangkan sebarang pengecualian LD terhadap Syarikat BNS. Pengalaman kerugian Kerajaan dalam pembinaan enam buah PV sebelum ini dengan syarikat yang sama hendaklah dijadikan pengajaran (lesson learnt).

“Selain itu, syarikat BNS perlu meningkatkan amalan tadbir urus yang baik dalam pengurusan kewangan, perolehan peralatan dan perkhidmatan dengan OEM/pembekal bagi memastikan harga diperolehi ialah value for money untuk kerajaan,” katanya.

Selain itu, jawatankuasa itu juga menasihatkan Kementerian Pertahanan supaya memperkemaskan pengurusan kontrak khususnya capping dalam LD tidak dimasukkan dalam Supplementary Contract Kementerian Pertahanan yang akan ditandatangani kelak.

Ini katanya bagi mengelakkan kerajaan mengalami kerugian kerana LD tidak dapat dikuatkuasakan bagi penyerahan kapal yang melepasi tempoh had maksimum capping.

Juga, sekiranya kerajaan ingin memuktamadkan variation proposal daripada BNS, pada masa yang sama kerajaan perlu memuktamadkan kos dan masa yang diperlukan bagi penyerahan kapal berkenaan.

Kerajaan perlu meneliti secara mendalam sebelum mempertimbangkan sebarang permohonan oleh Syarikat BNS untuk menambah kos pembinaan bagi menyiapkan pembinaan enam buah LCS tersebut.

“Kajian cost benefit hendaklah dilaksanakan memandangkan anggaran kos projek akan meningkat melebihi had siling projek berjumlah RM9.128 bilion. Bagi mengelakkan kos ini terus meningkat, kerajaan perlu mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan pembinaan keenam-enam LCS
atau mengurangkan bilangannya tertakluk kepada kesan ke atas kos dan masa,” ujarnya lagi.

Jawatankuasa siasatan juga mengemukakan pilihan kepada kerajaan menamatkan kontrak BNS diganti dengan kontraktor baru namun, tidak mengesyorkan langkah itu kerana ia melibatkan pertambahan kos.

Justeru, Jawatankuasa siasatan mencadangkan kerajaan meneruskan kontrak. Namun, Kementerian Pertahanan hendaklah segera membentangkan kesemua penemuan siasatan ini, implikasi kewangan kerajaan dan hala tuju projek berkenaan kepada Kabinet bagi membolehkan Jemaah Menteri mempertimbangkan dan membuat keputusan yang terbaik mengenai hala tuju pembinaan enam buah LCS tersebut.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat