Hishammuddin Jamin LCS1 Tak Perlu Dana Tambahan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan tiada sebarang suntikan dana tambahan diperlukan untuk menyiapkan kapal tempur pesisir pantai (LSC) yang pertama atau LCS1.

Pada masa sama, beliau optimis kapal LCS1 akan dapat disiapkan dalam tempoh baharu yang ditetapkan seterus diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Seperti yang saya sudah umumkan bahawa dalam perancangan kita untuk melihat ke hadapan dalam masa satu atau dua tahun ini, saya rasa itulah LCS pertama kita.

“Dan tidak benar (bila ada pihak mengatakan) selama ini tidak ada perkembangan langsung, pembinaan kapal (LCS) yang ada kini dalam pelbagai peringkat pembinaan dan kelewatan itu bukan sahaja semasa (merujuk Pakatan Harapan) memerintah 22 bulan.

“Semasa kita tidak berada ditampuk kepimpinan (kelewatan juga berlaku), tetapi saya tidak mahu menuduh sesiapa, kerana apa yang penting dengan perancangan yang secara telus seperti yang dibentangkan kepada semua, itulah harapan kita termasuklah kapal pertama, kedua, ketiga dan seterusnya,” lapor BH.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2022 dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ke-50 di Wisma Pertahanan pada Rabu.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Tambah beliau, tumpuan beliau sekarang adalah untuk memastikan kapal LCS1 dapat disiapkan dalam tempoh yang dijadualkan

“Kalau pihak berkenaan dapat menyerahkan kapal pertama ini dalam masa yang ditetapkan, dengan peruntukan sedia ada, saya sendiri yakin bahawa mereka dapat memenuhi keperluan kita untuk kapal yang lain.

“Saya nak tengok apa pun yang telah dirancang, apa yang telah dibentangkan kepada kabinet, apa yang saya jawab kepada Dewan Negara, dapat disempurnakan dan ujiannya adalah kapal pertama tadi (LCS1).

“Dan kapal pertama itu tidak akan membabitkan suntikan kewangan yang baharu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kapal seterusnya akan memerlukan suntikan dana tambahan.

“Tetapi bagi saya, perlu buktikan bahawa kita boleh siapkan kapal pertama dahulu.

“Kalau kapal pertama pun tidak boleh disiapkan seperti dijadualkan bawah agenda pelan kita pada kali ini, tak guna kita fikirkan dana tambahan,” katanya.

Pada 8 Ogos lalu, Hishammuddin dilaporkan berkata kapal pertama daripada enam LCS diharap dapat disiapkan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi untuk diserahkan kepada TLDM.

Katanya, beliau tidak dapat memberi tempoh sebenar bagi kapal LCS untuk siap sepenuhnya kerana Kabinet memberi tempoh enam bulan kepada kementeriannya untuk memobilisasi usaha menghidupkan semula projek pembinaan kapal berkenaan.

Hishammuddin berkata, langkah itu memerlukan libat urus dengan vendor, termasuk di Perancis serta membabitkan agensi perbankan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Razali Idris (Bersatu) yang bertanya jangka masa bagi kapal LCS dapat disiapkan pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat