Zahid tak kemaruk namakan diri sebagai calon PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan dirinya tidak ‘kemaruk’ menamakan dirinya sebagai calon Perdana Menteri meskipun mengepalai sebuah parti terbesar.

Justeru katanya, UMNO akan mempertimbangkan beberapa calon untuk dikemukakan sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.

“Sebagai manusia biasa, pastinya saya tidak dapat menyembunyikan perasaan terhiris apabila pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan ke atas diri saya, sepanjang kemelut politik yang berlaku ini.

“Demi kepentingan rakyat dan negara ketahuilah, saya tidak pernah terlintas untuk menamakan diri saya sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti terbesar.

“Justeru, UMNO sebagai sebuah parti yang mempunyai pengalaman luas dan panjang dalam mentadbir negara, akan mempertimbangkan beberapa calon. Sehubungan itu, saya mengharapkan kerjasama serta sokongan semua ahli Parlimen,” ujar Zahid.

Meskipun menjadi orang kuat di belakang keruntuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu merakamkan ucapan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas perkhidmatannya selama 18 bulan ini.

” Negara menyaksikan kemelut politik yang meresahkan semua pihak sejak beberapa bulan lalu. Semalam (Tan Sri) Muhyiddin telah mengumumkan perletakan jawatannya secara rasmi selaku Perdana Menteri. UMNO merakamkan terima kasih kepada beliau atas perkhidmatannya.

” Apa yang berlaku perlulah dijadikan teladan dan saya menyeru semua pihak untuk memandang ke hadapan dengan memberi sepenuh tumpuan hanya kepada satu matlamat bagi bersama-sama menjaga kesejahteraan rakyat dan membina kembali negara tercinta ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu kata beliau, bagi mengelakkan krisis ini daripada berulang, Zahid mencadangkan bebeapa solusi.

” Sebuah kerajaan yang stabil mesti segera ditubuhkan untuk satu tempoh yang munasabah yang akan memfokuskan hanya menangani perang pandemik Covid-19 dan menguruskan soal-soal kesejahteraan rakyat yang semakin meruncing.

” Bagi tujuan ini, sebuah kabinet yang efektif mirip seperti ‘War Cabinet’ yang hanya memfokuskan proses pemulihan negara mendepani pandemik hendaklah dibentuk.

” Setelah negara mencapai imuniti kelompok dan keadaan memungkinkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, maka Kerajaan ini harus dibubarkan bagi menyerahkan semula mandat mutlak kepada rakyat,” katanya.

Kemudian Zahid berkata lagi, bagi menjamin kestabilan dan kerjasama politik dicapai, tindakan menzalimi parti dan pimpinan lawan hendaklah dihentikan.

” Menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk melemahkan lawan dalam mengekalkan kuasa tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat.

” Saya ingin menyeru kepada seluruh ahli dan kepimpinan UMNO di semua peringkat untuk mengenepikan segala perbezaan dan kembali bertaut demi menjayakan agenda rakyat dan negara ini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat