“Saya Sedang Rawat Kanser, Tak Mungkin Terima Sogokan” – Muhyiddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dirinya menerima sogokan RM1.3 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang dikaitkan dalam kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Bersatu itu juga menganggap pernyataan beliau menerima sogokan itu sebagai palsu malah bersedia untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya dimaklumkan tentang keterangan mahkamah yang diberikan seorang pengurus pentadbiran syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang terlibat dalam kes sogokan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kononnya, syarikat tersebut telah memberikan wang tunai sebanyak RM1.3 juta kepada saya di antara bulan Jun dan Ogos 2018. Ini memberikan gambaran saya juga menerima sogokan,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam kenyataan pada Jumaat.

Tegas Muhyiddin pernyataan ini adalah palsu.

“Saya dengan tegasnya menafikan pernyataan tersebut. Pada masa itu, saya menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.

“Tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu. Hal ini tersebar luas dalam media massa.

“Malahan pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara. Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas,” jelas Muhyiddin lagi.

Tegas beliau, dirinya tidak pernah menerima sebarang sogokan seperti didakwa.

“Saya dengan ini menyatakan bahawa saya tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya.

“Saya juga tidak pernah disoal atau disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan tomahan ini.

“Adalah diharapkan pihak pendakwaan akan menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah buruk terhadap saya sedangkan saya tegas menentang rasuah,” tegas Pengerusi Perikatan Nasional itu lagi.

Memetik BH, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pada 2018.

Selain Muhyiddin, lima nama ahli politik disebut ketika perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerima sumbangan wang tunai RM300,000 pada 4 Jun 2018; RM500,000 (4 Julai 2018) dan RM500,000 (23 Ogos 2018) berdasarkan buku lejar syarikat itu.

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata, kod nama ‘TSM’ dalam lejar ialah Tan Sri Muhyiddin, manakala ‘Team Pagoh’ adalah nama projek.

“Saya setuju projek UKSB di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan sumbangan diserahkan untuk kerajaan pada masa itu. Muhyiddin adalah Menteri Dalam Negeri selepas Ahmad Zahid pegang jawatan berkenaan.

“Saya juga mengesahkan Khairy menerima dana politik RM3.7 juta daripada UKSB, manakala Reezal Merican menerima dana antara RM200,000 hingga RM300,000 secara sekali daripada syarikat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat