ProtectHealth Beri Amaran Tamat Khidmat Pengamal Perubatan Swasta Terlibat Jual Vaksin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) memberi amaran tidak teragak-agak menamatkan perkhidmatan pengamal perubatan swasta yang didapati terlibat dengan penjualan vaksin kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Anas Alam Faizli, menegaskan vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah diberikan percuma.

Katanya, kos pembelian vaksin terbabit ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan tanpa mengira pemberiannya dilaksanakan di fasiliti kerajaan ataupun swasta.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menerima sebarang tawaran pemberian vaksin berbayar dan segera membuat laporan kepada pihak polis.

“Proses pendaftaran PICK perlu melalui saluran yang betul iaitu sama ada menerusi aplikasi MySejahtera, laman web www.vaksincovid.gov.my atau talian 1800-888-828.

“Kehadiran ke PPV adalah berdasarkan janji temu seperti yang ditetapkan di MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kegiatan sindiket penipuan dipercayai oleh beberapa individu tidak bertanggungjawab yang mempromosikan vaksin berkenaan.

Terdahulu, dua individu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes penipuan melibatkan pakej vaksin COVID-19 untuk warga tempatan dan warga asing pada Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan yang menerima makluman daripada rakannya berkenaan kewujudan tawaran pakej-pakej Vaksin COVID-19.

ProtectHealth adalah syarikat di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang dilantik sebagai pelaksana program pembabitan Pengamal Perubatan Swasta dalam PICK.

Pelantikan ProtectHealth di dalam PICK bagi Fasa 2 dan 3 bertujuan membantu kerajaan melaksanakan program berkenaan dengan lebih cekap.

ProtectHealth yang ditubuhkan pada Disember 2016 tidak berasaskan keuntungan dan hanya berperanan menyelaras, mentadbir serta menguruskan inisiatif berkaitan pembiayaan perkhidmatan kesihatan seperti diamanahkan kerajaan. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat