KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui masih menyimpan hasrat untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi, hal demikian membuatkannya tidak mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir kerana mahu fokus kepada kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu bagaimanapun berkata, pada masa sama beliau bersedia menjadi penasihat ekonomi kepada negeri Johor sekiranya PN berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.

Muhyiddin memberitahu sesiapa pun yang akan menjadi calon Menteri Besar bagi PN tidak menjadi masalah kerana gabungan itu mempunyai agenda besar untuk rakyat Johor yang memerlukan pengundi memilih mereka demi masa depan yang cerah.

“Saya tidak bertanding (DUN) kerana saya nak tumpu di Pusat, mana tahu kalau Tuhan kata kunfayakun balik semula jadi Perdana Menteri. Tetapi kena tunggu PRU-15 diadakan.

“Namun saya akan bantu di Johor, siapa bakal Menteri Besar PN, tidak kira siapa dia (tetapi) adalah orang yang layak, saya boleh jadi penasihat ekonomi supaya Johor yang terkesan akibat Covid-19 hingga ratusan ribu rakyat sudah jadi miskin tiada pendapatan, saya berjanji PN akan buat sesuatu.

“Maksud saya kita ada agenda besar untuk rakyat sebab itu slogan kita gunakan untuk PRN ‘Demi Bangsa Johor’. PN akan berusaha sedaya upaya mungkin bantu supaya Johor jadi negeri paling cemerlang, gemilang sehingga rakyatnya maju, disegani dan dihormati,” katanya ketika berucap di Pentas PN DUN Tenggaroh di Felda Tenggaroh 3, malam tadi.

Turut hadir Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussin.