MUDA Berentap Di Johor Guna Logo Sendiri, Akui Underdog

KUALA LUMPUR – Meskipun menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memilih untuk bertanding menggunakan logo sendiri pada pilihan raya negeri (PRN) Johor tidak lama lagi,” kata Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, pilihan tersebut diambil memandangkan ia merupakan penyertaan kali pertama mereka dalam pilihan raya.

“Ini adalah pilihan raya pertama kami dan kami akui kami ialah underdog tetapi ingin memberikan tawaran khidmat serta pembaharuan dasar yang terbaik untuk jadi pembangkang atau insya-Allah pada masa akan datang (dalam) kerajaan.

“Tetapi pembangkang yang berpadu, bermaruah, berprinsip, berintegriti dan yang akan sentiasa mempertahankan isu-isu rakyat secara lantang di dewan undangan negeri (DUN). Sebab itu, kita akan gunakan logo dan identiti Muda,” katanya seperti dilaporkan menerusi wawancara Sinar Harian Online, hari ini.

Terdahulu Muda mencapai kesepakatan dengan Amanah dan DAP dalam isu pembahagian kerusi pada PRN Johor.

Parti itu diberi ruang bertanding di enam kerusi iaitu DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Syed Saddiq dipetik sebagai berkata, keutamaan Muda kini adalah mencalonkan muka baru bagi membawa nama parti berbanding meletakkan dirinya secara individu.

Jelasnya langkah mengumumkan Amira Aisya bertanding di DUN Puteri Wangsa sebagai calon pertama dipilih mewakili Muda juga selari dengan hasrat penubuhan parti itu.

“Sebab utama kita mencalonkan Amira Aisya dahulu, bukan saya, bukan pimpinan yang lain adalah kerana kita ingin menonjolkan lebih ramai pimpinan baru, yang segar, lebih banyak wanita berwawasan untuk dijadikan pasukan yang Muda.

Menurut Syed Saddiq, Muda seharusnya tidak dibayangi dirinya selaku presiden parti itu.

“Ia kerana kita tidak melihat sekadar seorang figura atau individu. Muda itu lebih besar daripada Syed Saddiq dan saya terhutang budi kepada ramai pimpinan dan akar umbi Muda yang berjuang, berkhidmat sekian lama.

“Tidak harapkan jawatan, tidak harapkan kontrak, tidak harapkan habuan kerana kita tahu apabila menyertai Muda. Ini adalah permulaan politik, kita tidak mewah, tidak ada sokongan yang luar biasa, jaringan di setiap kampung,” kata ahli Parlimen Muar itu yang kini masih berahsia sama ada akan turut bertanding atau sebaliknya.